ad

Polis, konsesi adakan pemantauan berkala, pasang papan tanda amaran di Lebuhraya DASH

25 Ogos 2025, 8:16 AM
Polis, konsesi adakan pemantauan berkala, pasang papan tanda amaran di Lebuhraya DASH
Polis, konsesi adakan pemantauan berkala, pasang papan tanda amaran di Lebuhraya DASH

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pihak polis dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akan mengadakan pemantauan berkala di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya juga akan berbincang dengan pemilik konsesi terbabit untuk memasang papan tanda amaran.

"Kita akan berbincang dengan pihak konsesi untuk melihat apakah langkah penambahbaikan yang boleh dilaksana, kalau nak ubah bentuk tidak boleh mungkin boleh bina penghadang yang dapat menghalang pengguna jalan raya terhumban ke bawah.

"Pemantauan berkala dengan pihak konsesi juga akan dibuat dan letakkan papan tanda sebagai peringatan selekoh tajam atau kawasan kemalangan maut dan secara tidak langsung pengguna lebih berwaspada," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas berhubung faktor terjadinya kemalangan di lebuh raya berkenaan, Mohd Iqbal berkata banyak punca antaranya bentuk jalan itu sendiri dan selekoh yang agak tajam.

"Tempat lain berlaku juga kemalangan cuma kebetulan dua insiden lebih kurang sama iaitu tercampak jatuh di lokasi sama. Banyak faktor tetapi DASH membantu memendekkan perjalanan.

"Apa yang penting sebagai pengguna kita perlu tingkatkan langkah keselamatan apabila melalui jalan tersebut, sentiasa berhati-hati," katanya.

Semalam, seorang pelajar kolej swasta maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum terjatuh dari 'flyover' Lebuhraya DASH pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5, di sini.

Menurut Mohd Iqbal remaja berusia 19 tahun itu maut akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh di kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa dekat sini, kira-kira jam 10.40 pagi.

Ia adalah nahas ketiga selepas kejadian sama pada 26 Julai lalu, membabitkan lelaki berusia 23 tahun yang maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas lalu terjatuh pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5 lebuh raya sama.

Insiden pertama pada 19 Oktober 2022 membabitkan sebuah motosikal jenis SYM VF3I yang ditunggang lelaki berusia 24 tahun terbabas sebelum terjatuh ke atas jalan di Kilometer (KM) 15.7 DASH dekat Penchala.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.