SHAH ALAM, 16 JULAI: Seorang remaja perempuan maut, manakala seorang remaja lelaki cedera selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu, Kuching awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nurmanisha Khamis, 13, manakala Mohd Rayyan Mohd Faizal berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, lapor Berita Harian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, dengan bantuan BBP Tabuan Jaya, digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata pasukan bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati rumah teres dua tingkat jenis kekal itu terbakar kira-kira 70 peratus, selain dimaklumkan terdapat dua mangsa masih berada di dalam rumah.
"Anggota bomba menggunakan teknik offensive dengan memasuki bangunan yang sedang terbakar bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dilaporkan terperangkap.
"Sebaik berjaya membawa keluar kedua-dua mangsa, anggota bomba memberikan rawatan awal sebelum mereka diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, remaja perempuan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM, manakala remaja lelaki dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 3.14 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.







