Golongan muda aset paling berharga bagi sesebuah masyarakat dan negara.
Dalam Islam, anak muda bukan sekadar dilihat sebagai generasi pelapis, mereka merupakan golongan yang mempunyai kekuatan fizikal, kecerdasan akal, keberanian dan semangat yang tinggi untuk membawa perubahan.
Oleh sebab itu, al-Quran dan al-Sunnah memberi perhatian besar terhadap peranan anak muda dalam membina tamadun, mempertahan agama dan menyebar kebenaran.
Allah SWT mengingatkan setiap manusia melalui fasa kekuatan sebelum kembali kepada kelemahan. Firman-Nya: “Allah-lah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan sesudah keadaan lemah itu kekuatan, kemudian Dia menjadikan sesudah kekuatan itu lemah pula dan beruban.” (Surah al-Rum: 54)
Ayat tersebut menunjukkan zaman muda tempoh kemuncak kekuatan manusia. Kekuatan fizikal, semangat dan daya fikir yang dimiliki sewajarnya dimanfaat untuk berbakti kepada agama, masyarakat dan negara sebelum datangnya usia tua.
Islam meletakkan masa muda sebagai amanah yang akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara... antaranya tentang masa mudanya, pada apakah dia habiskan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis itu menunjukkan usia muda mempunyai nilai sangat besar di sisi Allah SWT. Setiap detik yang digunakan untuk menuntut ilmu, beribadah, berkhidmat kepada masyarakat dan melakukan kebajikan menjadi bekalan pada hari akhirat kelak.
Pemuda naungan Allah
Antara kelebihan terbesar anak muda ialah peluang menjadi golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan selain naungan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya... antaranya ialah seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis berkenaan menunjukkan seorang pemuda yang menggunakan zaman mudanya mendekatkan diri kepada Allah memperoleh kedudukan yang sangat tinggi di sisi-Nya.
Al-Quran turut mengangkat sekumpulan pemuda sebagai teladan sepanjang zaman. Mereka ialah Ashabul Kahfi yang mempertahan akidah walaupun berhadapan dengan pemerintah zalim.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, lalu Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi: 13)
Allah memilih perkataan para pemuda bagi menunjukkan golongan muda mampu menjadi pembela agama apabila mereka memiliki keimanan yang teguh.
Sejarah Islam membuktikan Rasulullah SAW memberi kepercayaan besar kepada golongan muda. Antaranya ialah Ali bin Abi Talib yang masih muda ketika memeluk Islam dan sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW pada malam hijrah walaupun nyawanya terancam.
Begitu juga Mus’ab bin Umair seorang pemuda bangsawan Mekah yang meninggalkan segala kemewahan demi Islam. Rasulullah SAW mengutus beliau sebagai pendakwah pertama ke Madinah sebelum peristiwa hijrah. Dakwah Mus’ab telah membuka jalan kepada perkembangan Islam sehingga lahir masyarakat Islam di Madinah.
Selain itu, Usamah bin Zaid dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai panglima tentera ketika usianya sekitar lapan belas tahun. Walaupun terdapat sahabat yang lebih tua, Baginda tetap mempercayai kemampuan beliau berdasarkan ilmu, kepimpinan dan ketakwaannya.
Semangat menuntut ilmu
Ramai ulama besar Islam mula menuntut ilmu sejak usia muda. Imam al-Syafi’i menghafaz al-Quran ketika masih kecil dan menghafaz kitab al-Muwatta’ pada usia sangat muda. Imam al-Bukhari pula mula menghafaz hadis sejak kanak-kanak hingga akhirnya menghimpunkan kitab hadis paling sahih dalam sejarah Islam.
Kejayaan mereka membuktikan bahawa usia muda waktu terbaik untuk membina ilmu, akhlak dan keperibadian yang unggul.
Anak muda Islam masa kini mempunyai tanggungjawab besar. Mereka perlu menjadi generasi yang menguasai ilmu agama dan ilmu dunia, berakhlak mulia, mahir dalam teknologi, aktif dalam kerja kebajikan serta menjadi contoh baik di media sosial dan kehidupan seharian.
Semangat, kreativiti dan keberanian yang dimiliki perlu dimanfaat untuk menyebar dakwah, mempertahan kebenaran serta membangunkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
Islam memandang tinggi kedudukan anak muda. Mereka bukan sekadar pewaris masa hadapan, bahkan penggerak perubahan sejak zaman nabi dan sahabat lagi. Al-Quran memuji pemuda Ashabul Kahfi, manakala Rasulullah SAW membimbing serta memberi kepercayaan kepada ramai sahabat yang masih muda untuk memikul amanah besar.
Oleh itu, setiap anak muda hendaklah menghargai nikmat usia muda dengan mengisi kehidupan dengan iman, ilmu, ibadah dan amal soleh.
Masa muda tidak akan kembali tetapi amal ketika muda terus menjadi bekalan menuju akhirat. Sebagaimana pesan Rasulullah SAW: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara... masa mudamu sebelum datang masa tuamu.” (Riwayat al-Hakim)







