SHAH ALAM, 15 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini melupuskan pelbagai jenis peralatan perlombongan mata wang kripto bitcoin yang disita sepanjang tahun lepas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM800,000, susulan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram.
Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata pelupusan itu dilakukan menerusi Program Pelupusan Barang Tidak Mudah Rosak Jabatan Penguatkuasaan Tahun 2026 di Depoh Tunda Harian MBSA, Seksyen 17, di sini.
“Pelaksanaan pelupusan ini bertujuan memastikan semua barang rampasan yang telah selesai proses perundangan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan, di samping membanteras dan mencegah aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram yang sering dikaitkan dengan penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah.
“Aktiviti tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada utiliti awam, malah boleh mengundang risiko kebakaran serta mengancam keselamatan premis dan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fauzi berkata operasi pelupusan itu dijalankan selaras dengan peruntukan Peraturan 3 dan Peraturan 38 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007 serta Seksyen 116 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan bekalan elektrik dan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.
“MBSA sentiasa komited untuk memastikan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya dijalankan mengikut peruntukan undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan awam, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.
“Kerjasama erat bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi membendung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pemilik premis dan pengusaha supaya mematuhi syarat pelesenan serta undang-undang yang berkuat kuasa dan menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat kepada MBSA atau agensi berkaitan sekiranya mengesan sebarang aktiviti perlombongan mata wang kripto yang disyaki dijalankan secara haram.







