SHAH ALAM, 10 JAN: Polis Daerah Kajang mengesahkan menerima lima laporan berhubung program ‘Glamping With Pride’ yang dijadual berlangsung di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari.
Ketuanya, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata laporan pertama diterima pada 8 Januari, kira-kira jam 6.10 petang, berkaitan iklan program yang dipercayai menjejaskan tatasusila dan menimbulkan masalah sosial.
“Setakat ini, lima laporan polis diterima merujuk aduan sama,” katanya.
Beliau memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menjaga tatasusila dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil sekiranya aktiviti sebegini diteruskan," tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717 bagi membantu siasatan.
Terdahulu laporan media berkenaan penganjuran program berlangsung dua hari itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang rata-ratanya membantah penganjuran itu.
Mais hari ini menegaskan pendirian menolak sebarang kegiatan yang menormalisasikan budaya songsang melibatkan komuniti pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sementara itu, EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri menggesa penganjur membatalkan program ‘Glamping With Pride’ yang jelas bercanggah dengan norma masyarakat serta nilai agama yang diamalkan di negara ini.


