SHAH ALAM, 8 JULAI: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Areen Melisha Abdullah pada jam 6.34 petang semalam.
Beliau berkata remaja itu dipercayai hilang kira-kira jam 6 petang pada 5 Julai berhampiran 7-Eleven Apartment City Height, Sungai Chua, Kajang.
Menurutnya, Areen berketinggian kira-kira 138 sentimeter dengan berat sekitar 42 kilogram.
"Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju-T lengan panjang berwarna kelabu, seluar slack hitam dan tudung merah jambu.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924," katanya dalam kenyataan hari ini.







