Selangor Fruit Valley perkenal tiga tarikan baharu tarik 150,000 pengunjung

15 Jul 2026, 7:00 AM
Selangor Fruit Valley perkenal tiga tarikan baharu tarik 150,000 pengunjung
Selangor Fruit Valley perkenal tiga tarikan baharu tarik 150,000 pengunjung
Selangor Fruit Valley perkenal tiga tarikan baharu tarik 150,000 pengunjung

KUALA SELANGOR, 15 JULAI: Selangor Fruit Valley (SFV) bakal memperkenalkan tiga tarikan baharu iaitu glamping, Kafe Vanilla dan Taman Buah Nadir yang dijangka mampu menarik sehingga 150,000 pengunjung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kemudahan glamping dijangka menjadi antara produk utama yang mampu meningkatkan pengalaman pengunjung apabila mula beroperasi pada pertengahan 2027.

Katanya, projek itu sedang melalui proses mendapatkan kebenaran merancang sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.

"Kemudahan glamping ini antara produk yang paling dinanti-nantikan. Ramai pengunjung menyuarakan hasrat supaya SFV menyediakan penginapan kerana ketika ini mereka hanya datang melawat dan tidak mempunyai tempat untuk bermalam.

"Kita menjangkakan ia dapat beroperasi pada pertengahan 2027 kerana ketika ini masih dalam proses mendapatkan kebenaran merancang," katanya pada sidang media selepas Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (tengah) bercakap pada sidang media selepas Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley di Kuala Selangor pada 15 Julai 2026.

Beliau berkata, PKPS turut memperkenalkan Kafe Vanilla yang dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober ini sebagai satu lagi produk agropelancongan baharu di SFV.

Selain itu, Mohamad Khairil berkata, Taman Buah Nadir dibangunkan bagi menghimpunkan pelbagai spesies buah nadir tempatan seperti belimbing buluh, beruas, kandis burung, jentik-jentik, mentega, petai, gajus dan tampoi.

Katanya, taman seluas kira-kira lima ekar itu masih dalam fasa pembangunan sejak lebih dua tahun lalu dan akan diperluaskan sekiranya mendapat sambutan serta menunjukkan potensi yang memberangsangkan.

"Kawasan taman ini meliputi kira-kira lima ekar dan telah diusahakan selama lebih dua tahun setengah. Sekiranya kita melihat potensinya baik, kawasan ini akan diperluaskan bagi menambah penanaman spesies buah nadir," katanya.

Pada 2025, SFV merekodkan kira-kira 100,000 pengunjung. Dengan penambahan produk dan pengalaman baharu, destinasi agropelancongan itu menyasarkan kehadiran sehingga 150,000 pengunjung pada tahun ini.

Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley menghimpunkan pengamal media, pencipta kandungan dan pempengaruh bagi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman agropelancongan yang ditawarkan menerusi pelbagai aktiviti termasuk lawatan sekitar kawasan, permainan serta menikmati buah-buahan tempatan seperti durian.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.