KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Sektor pertanian tidak boleh lagi bergantung pada kaedah konvensional semata-mata dalam memastikan keterjaminan makanan negara dan industri agromakanan kekal berdaya saing.
Justeru, penyelidikan, inovasi dan penerapan teknologi moden perlu diperhebat bagi memacu sektor itu, lebih-lebih lagi ketika dunia kini mendepani perubahan iklim yang berisiko menjejaskan pertanian global, sekali gus mengancam keterjaminan bekalan.
Menyedari keperluan itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melalui Agriculture Centre of Excellence (ACE) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Berpusat di hab agropelancongan PKPS, Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya, Kuala Selangor, ACE bukan sahaja membangunkan inovasi, malah memastikan setiap hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi memperkasakan pembangunan teknologi pertanian di Selangor.
PKPS adalah anak syarikat kerajaan negeri Selangor.
Bermula dari makmal
Mengulas peranan ACE, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata mengambil pendekatan dari “Makmal ke Ladang”, ACE kini memperluas skop penyelidikan kepada beberapa bidang strategik yang dilihat berpotensi memberi impak besar kepada industri pertanian di negeri itu.

Beliau berkata antaranya pembangunan Lateral Flow ImmunoAssay Device (LFIAD) yang dilihat sebagai inovasi diagnostik pantas dan berpotensi mengubah cara pengesanan penyakit tanaman di lapangan.
LFIAD merupakan kit pengesan penyakit tanaman mudah alih berasaskan nanoteknologi yang dibangunkan bagi mengesan kehadiran patogen seperti virus, bakteria dan kulat.
"LFIAD berfungsi dengan menganalisis sampel tanaman seperti daun yang diambil terus dari ladang. Proses ini membolehkan pengesanan awal dilakukan dengan cepat tanpa perlu menunggu analisis makmal.
“Langkah itu membolehkan tindakan mitigasi dilaksanakan dengan segera sebelum jangkitan merebak ke kawasan tanaman lain dan menyebabkan kerugian lebih besar kepada petani,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan tanaman bernilai tinggi seperti vanila dan durian belanda yang mempunyai potensi besar untuk pasaran domestik dan eksport.
Pun begitu, buat masa ini, ACE yang ditubuhkan pada 2017, masih memfokuskan pada penghasilan benih pisang khususnya cavendish, menerusi teknologi kultur tisu tumbuhan dengan pengeluaran kira-kira 20,000 benih berkualiti tinggi setiap bulan.
ACE juga mengguna pakai Sistem Bioreaktor yang dibangunkan secara DIY (Do-It-Yourself) dalam proses pembiakan secara in vitro (di dalam kaca) bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta menyokong penghasilan benih berkualiti tinggi.

Selain itu, Mohamad Khairil berkata makmal ACE turut mengaplikasikan teknologi molekular Polymerase Chain Reaction (PCR) bagi menganalisis DNA untuk mengesahkan ketulenan genetik benih kultur tisu tumbuhan yang dihasilkan.
Menurutnya, analisis tersebut penting bagi memastikan tiada mutasi atau perubahan genetik berlaku sepanjang proses pengeluaran, sekali gus menjamin benih yang dihasilkan kekal seragam, tulen dan berkualiti tinggi.
“Dalam usaha meningkatkan produktiviti sektor pertanian negeri, ACE merancang untuk melaksanakan program pembiakbakaan tanaman bagi menghasilkan varieti baharu yang mempunyai ciri-ciri unggul seperti hasil yang lebih tinggi, ketahanan terhadap penyakit serta kualiti tanaman yang lebih baik.
“Program ini akan dilaksanakan secara kolaborasi dengan universiti dan institusi penyelidikan bagi mempercepat pembangunan varieti yang memenuhi keperluan industri,’’ tambahnya.
Mohamad Khairil berkata ACE turut merancang untuk meneroka teknologi mikrobiologi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan pertanian lestari.
Teknologi itu dilihat berpotensi menghasilkan penyelesaian biologi yang dapat meningkatkan kesuburan tanah, mengawal penyakit tanaman serta mempercepat penghasilan kompos berkualiti daripada sisa pertanian dan ternakan.
Tambahnya, pendekatan itu turut berupaya mengurangkan masalah bau yang sering dikaitkan dengan projek penternakan, pada masa sama menyokong pembangunan sektor pertanian yang lebih cekap, mampan dan mesra alam.
Ladang kontrak
Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara meluas, ACE melaksanakan program pemindahan teknologi kepada petani menerusi model ladang kontrak dan program “buy back” terutamanya bagi tanaman pisang cavendish.
Menurut beliau, menerusi program itu petani bukan sahaja dibekalkan benih kultur tisu berkualiti tinggi yang dihasilkan makmal, malah turut menerima latihan, bimbingan teknikal serta jaminan pembelian hasil tuaian.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, malah memastikan bekalan pisang cavendish yang berkualiti dapat dihasilkan secara konsisten untuk memenuhi permintaan pasaran setempat.
“Menerusi program ini, petani yang memiliki tanah sendiri di sekitar Selangor akan dibekalkan benih pisang cavendish berkualiti tinggi yang dihasilkan di Selangor Fruit Valley. Selain menerima bahan tanaman, peserta turut mendapat bimbingan teknikal serta pemantauan berkala daripada pegawai PKPS bagi memastikan tanaman diurus mengikut amalan pertanian yang disyorkan.
“Sepanjang tempoh penanaman, petani dikehendaki menghantar perkembangan tanaman melalui gambar dan laporan kepada pegawai projek. Di samping itu, pasukan teknikal PKPS turut mengadakan lawatan berkala ke ladang bagi memantau kesihatan tanaman, memberi khidmat nasihat serta membantu menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi petani,” katanya.
Tambahnya, keistimewaan program itu ialah jaminan pasaran menerusi konsep belian balik, iaitu PKPS akan membeli semula hasil tuaian daripada petani yang menyertai program tersebut.
Pendekatan itu katanya bukan sahaja mengurangkan risiko pemasaran yang sering dihadapi petani, malah memberi keyakinan kepada mereka untuk mengembangkan perusahaan secara lebih meluas.

“Selepas dibeli, hasil tuaian akan dihantar ke fasiliti pemprosesan PKPS untuk melalui proses pembersihan, penggredan dan peraman sebelum dipasarkan. Hanya buah yang memenuhi piawaian gred A akan dipasarkan ke pasar raya dan rangkaian kedai serbaneka yang memerlukan.
“Buah dalam gred B dan C tidak akan dibazirkan sebaliknya akan dijual kepada industri pemprosesan makanan sebagai bahan mentah untuk penghasilan produk hiliran seperti kek, pencuci mulut dan produk berasaskan pisang. Pendekatan ini membantu memaksimumkan nilai hasil tuaian di samping mengurangkan pembaziran makanan,” tambahnya.
Selain pisang cavendish, makmal tersebut turut menghasilkan benih tanaman pisang berangan, nangka, tanduk dan abu bagi memenuhi permintaan industri serta petani di negeri ini dengan menawarkan harga benih serendah RM2.50 sahaja, iaitu antara yang termurah dalam kalangan pengeluar benih tisu di pasaran.
Mengulas lanjut, Mohamad Khairil berkata permintaan terhadap varieti pisang berbeza mengikut lokasi dan musim.
Di Selangor, pisang cavendish mempunyai potensi besar kerana mendapat permintaan daripada pasar raya dan rangkaian kedai serbaneka yang memerlukan bekalan berkualiti secara berterusan sementara pisang tanduk pula mencatat permintaan tinggi terutama menjelang musim perayaan untuk diproses menjadi kerepek.
“Dalam usaha memperkukuh sumber bahan tanaman negara, pihak kami turut menawarkan penghantaran benih pisang ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi membantu pengusaha tanaman mendapatkan sumber benih berkualiti.
“Pendekatan bersepadu ini dijangka mampu memperkukuh industri pisang tempatan serta menjamin bekalan yang stabil bagi memenuhi permintaan pasaran domestik,’’katanya.
Pertanian moden
Sementara itu, Mohamad Khairil berkata ACE bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi pertanian, malah berperanan sebagai hab pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang pertanian moden.
Justeru, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan muda, petani serta pemain industri agar mereka lebih bersedia mengadaptasi teknologi baharu dalam sektor pertanian.
“ACE melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan termasuk latihan teknikal, bengkel, latihan industri, program inkubator serta kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan pemain industri.
"Usaha ini bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang bukan sahaja menguasai teknologi pertanian moden, malah mampu menyumbang kepada transformasi sektor agromakanan negara," katanya.
Beliau berkata pembangunan modal insan merupakan elemen penting bagi memastikan teknologi dan inovasi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh industri secara keseluruhannya.
Selain itu, ACE akan terus berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi bagi mempercepat penerimaan inovasi dalam kalangan pemain industri.
“Atas tujuan itu kita akan memperkukuh aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) teknologi pertanian sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.
"Komitmen ini bukan sahaja bertujuan memperkasa komuniti petani melalui penggunaan teknologi yang lebih cekap dan mampan, malah memastikan keterjaminan bekalan makanan negara terus diperkukuh bagi memenuhi keperluan generasi akan datang," katanya.








