SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor giat melaksanakan latihan amal dan simulasi bencana di peringkat daerah serta komuniti sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata, pelbagai latihan simulasi telah dilaksanakan sejak awal tahun dan diselaraskan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dengan kerjasama pihak berkuasa di peringkat daerah serta komuniti.
“Latihan ini bagi memberi kefahaman secara langsung kepada ketua kampung serta komuniti mengenai peranan yang boleh dimainkan sekiranya berlaku bencana.
“Persiapan telah dimulakan awal tahun, kita tidak menunggu antara dua hingga tiga bulan menjelang musim Monsun Timur Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Latih Amal Bencana Udara: Program Ex Urban Falcon 2026 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Mohd Najwan berkata, UPBN turut memantau perkembangan perubahan iklim dan situasi semasa melalui Pusat Kawalan Bencana yang beroperasi sepanjang masa.
“Pemantauan yang dijalankan tidak hanya memberi tumpuan kepada perubahan iklim dan cuaca, sebaliknya turut meliputi struktur serta pergerakan tektonik.
“Ini termasuk persediaan sekiranya berlaku kejadian seperti gempa bumi, sebagaimana yang berlaku di beberapa tempat lain,” ujarnya.







