Belia perlu celik undang-undang, elak terpengaruh 'penghakiman' media sosial

1 Jul 2026, 9:00 AM
Belia perlu celik undang-undang, elak terpengaruh 'penghakiman' media sosial

SHAH ALAM, 1 JULAI: Pendedahan terhadap aspek celik undang-undang dalam kalangan belia perlu diperkasakan supaya golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan 'penghakiman' di media sosial tanpa memahami prinsip asas sistem perundangan negara.

Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Dato' Mohd Imran Tamrin berkata kecenderungan membuat kesimpulan hanya berdasarkan maklumat yang tular boleh menghakis kefahaman masyarakat terhadap prinsip keadilan serta proses perundangan.

Menurutnya, perkara itu antara yang diberi penekanan menerusi Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor bagi membentuk generasi muda yang memahami fungsi badan perundangan dan proses demokrasi.

Presiden Majlis Belia Selangor, Dato' Mohd Imran Tamrin berucap sempena majlis perasmian program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 1 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Hari ini, celik undang-undang amat penting kerana kita melihat ramai menilai sesuatu isu, khususnya di media sosial, tanpa memahami asas sistem perundangan.

"Ada yang terus membuat penghakiman, sedangkan dalam undang-undang jenayah seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Yang lebih penting ialah memahami fungsi badan perundangan itu sendiri dalam menggubal undang-undang," katanya ketika ditemui pada Program ADN Muda Selangor 2026, di Dewan Annexe, di sini, hari ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San bersama peserta program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 1Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, pendedahan seperti itu penting bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu berbahas, mengemukakan pandangan serta berbeza pendapat secara matang, beretika dan berasaskan fakta.

"Kita ingin melihat kepimpinan muda ini bersedia. Jika suatu hari nanti mereka mempunyai ruang dan peluang menjadi ahli badan legislatif, mereka boleh berada di dalam Dewan Negeri, berbahas, menyatakan pandangan dan berbeza pendapat dengan lebih beretika serta memberikan sesuatu yang lebih objektif," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Imran berkata penglibatan MBS dalam program berkenaan amat signifikan memandangkan badan itu mempunyai lebih 20 badan gabungan yang mewakili belia di sembilan daerah di Selangor.

Peserta mendengar taklimat sempena program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 1 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Katanya, Program ADN Muda Selangor bukan sekadar simulasi persidangan Dewan Negeri, sebaliknya menjadi platform meningkatkan kefahaman belia mengenai sistem demokrasi serta menyalurkan suara anak muda kepada pembuat dasar.

Beliau turut menegaskan penyertaan dalam pertubuhan belia dan organisasi merupakan medan terbaik membina pengalaman kepimpinan sebelum seseorang terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi.

"Program ini menjadi satu platform kepada anak-anak muda di Selangor untuk membawa suara orang muda dan belia melalui Program ADN Muda Selangor.

"Ia juga memberi ruang kepada belia terlibat secara langsung dalam pertubuhan belia kerana sebelum seseorang anak muda terlibat dalam sistem demokrasi, mereka perlu mempunyai pendedahan daripada sudut pengurusan organisasi. 

"Demokrasi bukan sahaja berlaku di dalam dewan atau badan legislatif, tetapi lebih luas di peringkat lapangan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.