SHAH ALAM, 12 DIS: Remaja yang terjerumus dalam masalah sosial masih mempunyai peluang besar untuk berubah sekiranya diberikan perhatian, kasih sayang serta bimbingan berterusan yang betul dan konsisten.
Pendekatan itu menjadi tunjang kepada usaha Rumah Puteri Arafiah, sebuah pusat pemulihan di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), dalam membantu remaja perempuan berusia 12 hingga 21 tahun membina semula masa depan mereka.
Pengurus Rumah Puteri Arafiah, Jamaliah Abu Rohan berkata, setiap remaja wajar diberi peluang kedua dan perubahan mampu dicapai sekiranya mereka berada dalam persekitaran yang kondusif serta menyokong.
“Bimbingan, ilmu, dan sokongan berterusan adalah asas utama perubahan. Dengan perhatian ibu bapa dan tunjuk ajar yang konsisten, remaja sebenarnya mampu bangkit semula,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, walaupun ramai remaja pada awalnya sukar menyesuaikan diri dengan peraturan ketat di pusat perlindungan tersebut, majoriti menunjukkan perubahan positif selepas enam bulan hingga setahun.

“Perubahan itu dapat dilihat daripada segi disiplin, kematangan dan komitmen terhadap pembelajaran.
“Mereka juga melalui fasa emosi yang pelbagai seperti kerinduan kepada keluarga, namun bimbingan berterusan membantu mereka menjadi lebih stabil dan berkembang secara positif,” katanya.
Program pemulihan dua tahun bentuk jati diri
Jamaliah menjelaskan, program pemulihan selama dua tahun yang dijalankan merangkumi pendidikan agama seperti akhlak, al-Quran, hafazan dan fiqh, selain kelas akademik termasuk bahasa Malaysia, matematik dan bahasa Inggeris.
Setakat ini, katanya, Rumah Puteri Arafiah menempatkan seramai 27 pelatih dan tiada kes kehamilan dalam kalangan penghuni di bawah jagaan terkini.
“Namun, pada tahun-tahun sebelum ini, Rumah Puteri Arafiah pernah menerima tujuh hingga lapan remaja hamil luar nikah. Rumah perlindungan ini menempatkan remaja yang berdepan pelbagai cabaran sosial, termasuk ketagihan rokok, alkohol, seks luar nikah dan kehamilan tidak dirancang,” jelasnya.
Beliau berkata, selain pendidikan, sokongan psikologi turut diberikan dengan penglibatan kaunselor berdaftar yang menjalankan sesi kaunseling secara individu dan berkumpulan.
“Inventori kesihatan mental turut dilakukan bagi mengenal pasti tahap kesejahteraan mental setiap pelatih, dan kes yang serius akan dirujuk ke Unit Psikiatri Hospital Klang untuk penilaian klinikal,” katanya.

Pengaruh rakan sebaya, gajet punca utama remaja berisiko
Jamaliah menyifatkan kurang perhatian ibu bapa, penggunaan gajet tanpa kawalan serta pengaruh rakan sebaya sebagai antara faktor utama yang mendorong remaja ke arah tingkah laku berisiko.
“Walaupun ibu bapa memberi didikan yang baik, kadang-kadang remaja mudah terikut-ikut dengan kawan.
“Ilmu sangat penting. Pandai jaga diri dan pilih kawan yang betul. Jangan mudah terpengaruh,” ujarnya.
Mengulas cadangan menghadkan penggunaan media sosial kepada remaja bawah 16 tahun bermula tahun depan, beliau menyambut baik langkah itu sebagai usaha mengekang pendedahan melampau terhadap kandungan tidak sesuai dan risiko sosial.
“Benda ini banyak terjadi pun sebab media sosial juga. Jadi, dengan adanya pendekatan itu, mungkin salah satu punca kepada gejala sosial boleh disekat ataupun boleh dikurangkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 41,842 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah direkodkan hamil di fasiliti kesihatan kerajaan dari 2020 hingga 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, kira-kira 50 peratus melibatkan remaja Melayu, diikuti Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus) dan India (tiga peratus).


