Rapid KL: Insiden tren Laluan Shah Alam berpunca isu teknikal

14 Jul 2026, 10:27 AM
Rapid KL: Insiden tren Laluan Shah Alam berpunca isu teknikal

SHAH ALAM, 14 JULAI: Rapid KL mengesahkan insiden melibatkan sebuah tren di Stesen Stadium Shah Alam, Laluan Shah Alam pada 4 Julai lalu berpunca daripada isu teknikal membabitkan salah satu komponen tren.

Rapid KL memaklumkan hasil siasatan mendapati komponen berkenaan telah bersentuhan dengan konduktor kuasa sehingga menyebabkan bunyi letupan kecil dan percikan api.

"Susulan kejadian berkenaan, tren terbabit dikeluarkan daripada perkhidmatan serta-merta dan semua penumpang diturunkan di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala operasi perkhidmatan di Laluan Shah Alam terus berjalan seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rapid KL, tren berkenaan kemudian dibawa ke depoh bagi menjalani pemeriksaan terperinci.

"Komponen tren yang mengalami isu teknikal tersebut telah diganti dan tren dibenarkan kembali beroperasi selepas melalui pemeriksaan serta disahkan selamat untuk perkhidmatan," katanya.

Rapid KL berkata pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan memandang serius setiap insiden yang melibatkan operasi perkhidmatan.

"Pemeriksaan dan pemantauan terhadap tren-tren lain turut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan," menurut kenyataan itu.

Rapid KL turut menasihatkan penumpang mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan Laluan Shah Alam menerusi laman media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.