KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada Mei lepas.
Tertuduh, Fong Heng Leong, 72, didakwa memandu sebuah Proton X70 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Azim Haikal Noor Aziddin, 22, di Jalan 17/21, Petaling Jaya, Selangor, pada 1.42 tengah hari, 5 Mei lepas.
Heng Leong membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sadiah Fasihah Che Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.
Pada 5 Mei lepas, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an yang dipercayai hilang kawalan di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata siasatan awal mendapati Proton X70 berwarna kelabu yang dipandu warga emas itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.
Beliau berkata penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.







