KDN siasat dakwaan warga Israel sertai 'Network School' di Forest City

14 Jul 2026, 8:15 AM
KDN siasat dakwaan warga Israel sertai 'Network School' di Forest City

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan, sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap isu operasi “Network School” di Forest City, Johor yang didakwa disertai warga Israel.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum kenyataan Kerajaan Negeri Johor berhubung isu operasi “Network School” di Forest City, serta kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai berkaitan dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua, untuk memasuki Malaysia.

“KDN memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, KDN melalui JIM, PDRM dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh termasuk terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu siasatan turut merangkumi status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia dan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan.

“KDN turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan semua aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang- undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau apa-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.

“KDN ingin menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

KDN menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.

Hari ini media melaporkan Kerajaan Negeri Johor menggesa KDN dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi "Network School" di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut yang sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Semalam, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar “Network School” beroperasi di Forest City, yang didakwa disertai warga asing termasuk Israel.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.