Network School Forest City: JIM siasat kehilangan jejak 19 pelawat

21 Jul 2026, 8:35 AM
Network School Forest City: JIM siasat kehilangan jejak 19 pelawat

CYBERJAYA, 21 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengesan keberadaan 19 daripada 430 pelawat yang dikaitkan dalam isu operasi "Network School" di Forest City, Johor, yang didakwa disertai warga Israel.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata ketika ini, pihaknya sedang giat mendapatkan maklumat dan melaksanakan tindakan berkaitan bagi mengesan 19 pelawat berkenaan bagi menentukan status mereka.

Berdasarkan semakan JIM, jumlah keseluruhan pelawat yang dikenal pasti berkaitan isu Network School ialah 430 orang dengan 210 masih berada di Malaysia, 201 telah dikesan keluar dan 19 dikenal pasti tiada maklumat pergerakan.

“Kita ada 19 orang yang pergerakannya tidak dapat dikesan. Mungkin dia keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.

"Itu yang kita (sedang) kenal pasti dan kita akan buat siasatan lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka ini masih berada dalam negara ataupun mereka sudah keluar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’ di sini, hari ini yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu, Zakaria berkata JIM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan JIM, pihaknya tidak mengesan aktiviti penyalahgunaan pasport dalam kalangan pelawat yang diperiksa.

“Mereka menggunakan pasport yang sah daripada negara tertentu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi "Network School" di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Onn Hafiz berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

KDN melalui JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh terhadap isu itu.

Sebelum itu, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.