Anwar: Kerajaan utama rakyat tempatan, teliti keperluan pekerja asing

14 Jul 2026, 6:11 AM
Anwar: Kerajaan utama rakyat tempatan, teliti keperluan pekerja asing

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kerajaan akan terus meneliti keperluan pengambilan pekerja asing mengikut saluran dan peraturan yang ditetapkan, di samping memastikan peluang pekerjaan yang diwujudkan diberi keutamaan kepada rakyat tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan mengakui beberapa sektor masih memerlukan tenaga kerja asing, namun penyelarasan perlu dilakukan supaya pekerja asing yang sah dan sedia berada di negara ini diutamakan untuk mengisi kekosongan pekerjaan sebelum pengambilan baharu dibuat.

“Kita memang memerlukan tenaga pekerja asing, itu satu kenyataan, tetapi yang ada di Malaysia pun ramai, sudah berjuta, yang diperlukan berjuta.

“Kita tahu sindiket pekerja asing pun satu hal yang membebankan selama puluhan tahun dan menjadi tempat untuk orang mengaut kekayaan. Jadi sebab itu bagi saya, isu ini harus ditangani kerana ada beberapa sektor pekerjaan yang memang diperlukan,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (HARAPAN-Kota Melaka) tentang kekurangan tenaga kerja asing yang menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain isu peluang pekerjaan bagi golongan muda.

Anwar berkata kerajaan bersetuju bahawa terdapat keperluan menambah pekerja asing bagi sektor tertentu, namun perkara itu perlu diteliti bersama-sama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Pada masa sama, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terhadap pekerja asing yang melanggar undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan atau etnik, termasuk Rohingya.

“Kalau peraturan dipatuhi, sama ada bagi tempatan mahupun pekerja asing, kita akan beri perlindungan, tetapi kalau peraturan dilanggar, tempat-tempat perniagaan dirampas, tentunya akan menimbulkan reaksi. Jadi sebaiknya, badan penguatkuasaan harus tegas,” kata beliau.

Berhubung peluang pekerjaan untuk golongan muda, Anwar berkata kerajaan memperketat syarat kemasukan pekerja profesional asing bagi memastikan majikan tidak menyalahgunakan kelulusan yang diberi.

Beliau berkata terdapat syarikat yang memohon membawa masuk tenaga pakar dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), namun didapati pekerja yang diambil tidak menjalankan tugas berasaskan kepakaran yang diluluskan.

“Kalau kita perlu kemahiran kepakaran dari segi digital ataupun AI, kita boleh bawa. Tetapi jangan guna alasan itu untuk bawa masuk ke dalam satu syarikat dengan tenaga kerja yang bukan kepakaran yang kita sedang cuba usahakan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.