SHAH ALAM, 8 APRUL: Seramai 133 pekerja dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dalam operasi bersepadu di dua kilang di kawasan perindustrian di Lembah Klang, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata seramai 162 individu diperiksa dalam operasi itu dan 133 individu warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam operasi berasingan di Balakong dan Shah Alam, lapor Berita Harian.
Jelas beliau, operasi bersepadu membabitkan 145 pegawai termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.
"Antara warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (11), Bangladesh (65), India (4), Myanmar (17), Nepal (15), Pakistan (18), Vietnam (1) dan China (2) dengan majoritinya lelaki berumur antara 20 hingga 45 tahun.
"Kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf," katanya pada sidang media selepas meninjau operasi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua tahanan warga asing akan ditempatkan di depot tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, katanya, JKDM turut merampas arak dan rokok tidak bercukai yang dipercayai milik pekerja warga asing di kilang terbabit.
"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
"Ia termasuk di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.
Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak menggaji atau melindungi PATI kerana ia adalah kesalahan serius di bawah Akta Imigresen.
Katanya, Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada April 2026 dan semua PATI dinasihatkan supaya mengambil peluang itu segera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan lebih ketat selepas tempoh berakhir.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.








