Pekerja asing wajib jalani saringan keselamatan PDRM sebelum masuk Malaysia

23 Nov 2026, 7:37 AM
Pekerja asing wajib jalani saringan keselamatan PDRM sebelum masuk Malaysia

SHAH ALAM, 23 NOV: Rekod jenayah dan latar belakang setiap pekerja asing diperiksa menerusi sistem bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mereka dibenarkan memasuki negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata proses saringan itu antara prosedur wajib yang perlu dilalui setiap pekerja asing yang ingin diambil bekerja di negara ini, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, majikan juga perlu mematuhi semua proses dan ketetapan ditetapkan kerajaan sebelum menggaji pekerja asing.

“Mana-mana pekerja asing yang mahu digaji perlu melalui proses telah ditetapkan. Sebelum masuk ke negara ini, kita menggunakan sistem diintegrasikan dengan PDRM untuk menyemak sama ada mereka mempunyai kes jenayah lampau atau rekod tidak baik.

"Saya percaya kita akan sentiasa melihat kaedah terbaik bagi memastikan insiden disebutkan tadi dapat dikurangkan demi keselamatan pekerja dan rakyat tempatan," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai jaminan serta inisiatif kerajaan memastikan pekerja asing yang diluluskan kuota pekerjaan diberikan pendedahan mengenai undang-undang dan aspek keselamatan sepanjang berada di negara ini.

Nurul Amin turut membangkitkan kebimbangan berhubung beberapa insiden jenayah, didakwa membabitkan warga asing, selain meminta kerajaan memperketat pemantauan dan kawalan bagi menjamin keselamatan rakyat tempatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.