Saravanan dituduh terima rasuah RM1.097 juta lulus kuota pekerja asing

28 Ogos 2026, 1:45 AM
Saravanan dituduh terima rasuah RM1.097 juta lulus kuota pekerja asing

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lepas.

Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.

Perkara itu sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan serupa di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap tiga bulan sekali sehingga perbicaraan selesai, selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Mahkamah menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memaklumkan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh jamin, namun tidak membantah jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan sementara perbicaraan diselesaikan.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan ditetapkan pada jumlah RM800,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia," katanya.

Julaila berkata semakin tinggi kedudukan seseorang tertuduh dalam masyarakat, semakin tinggi jumlah jaminan yang perlu diberi kerana kes tersebut akan mendapat liputan media yang meluas, terutamanya melibatkan pemimpin masyarakat.

"Tertuduh ialah seorang yang amat dikenali oleh masyarakat. Oleh sebab itu, jumlah jaminan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap tertuduh," katanya sambil menambah jumlah jaminan serta syarat tambahan bukan bersifat menghukum atau satu jumlah melampau.

Julaila turut menekankan kewujudan risiko untuk Ahli Parlimen Tapah itu melarikan diri, mengambil kira faktor pertuduhan serta hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang.

"Walaupun pada tahap ini tidak dapat ditunjukkan ada saksi pendakwaan yang telah diganggu, sebagai seorang ahli politik berpengaruh, tertuduh berpeluang mengganggu dan mempengaruhi saksi.

“Oleh itu, jumlah jaminan yang tinggi dengan syarat ketat penting untuk memberikan peringatan agar tertuduh tidak berbuat demikian," katanya.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan pula berhujah bahawa jumlah jaminan RM800,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tidak munasabah dan keterlaluan.

Beliau berkata jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan tidak boleh dijadikan asas dalam menetapkan nilai jaminan, selain memohon mahkamah mengambil kira kerjasama penuh yang diberikan anak guamnya sepanjang siasatan SPRM.

"Tertuduh telah berkahwin dan isterinya juga merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai asal usul di Malaysia.

“Tertuduh yang merupakan seorang Ahli Parlimen sejak 2008 nekad untuk membersihkan nama beliau daripada pertuduhan tersebut dan kehadirannya hari ini ke mahkamah membuktikan komiten beliau untuk menghadapi pertuduhan," katanya.

Geethan turut memohon agar pasport anak guamnya tidak ditahan memandangkan Saravanan perlu mendapatkan rawatan perubatan secara berkala di sebuah hospital di Chennai, India.

Selain itu, beliau berkata Saravanan yang juga Pengerusi Yayasan Seniman India sering diundang ke luar negara atas kapasiti rasmi dan tiada risiko beliau akan melarikan diri atau mengganggu saksi.

“Jumlah jaminan RM300,000 memadai untuk menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah dan pihak kami tidak membantah dua syarat tambahan lain," kata Geethan.

Pada prosiding hari ini, Julaila dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan P. Rubini, manakala pihak pembelaan juga dibarisi peguam Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.

Prosiding turut dihadiri isteri Saravanan, Datin Seri V. Kavitha dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Saravanan yang memakai sut berwarna hitam selesai membayar jaminan RM450,000 dan beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 11.45 pagi.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.