SIBS kembali Oktober ini dengan tujuh segmen utama

14 Jul 2026, 7:00 AM
SIBS kembali Oktober ini dengan tujuh segmen utama
SIBS kembali Oktober ini dengan tujuh segmen utama

SHAH ALAM, 14 JULAI: Edisi ke-10 Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung Oktober ini bakal menampilkan tujuh segmen utama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Beliau berkata, persiapan bagi penganjuran SIBS yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober depan berjalan lancar.

“Edisi di Kuala Lumpur akan menghimpunkan tujuh segmen utama iaitu Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Forum Pelaburan Selangor (SIF), Sidang Kemuncak TechSphere Selangor, Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor, Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor serta beberapa program sokongan lain.

“Segmen ini akan menjadi platform menghimpunkan pemain industri, pelabur dan pemegang taruh bagi meneroka peluang perniagaan serta pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Business Linkages and Advancement Programme (BLAST) di Hotel Concorde di sini hari ini.

Dianjurkan oleh Invest Selangor, SIBS kini berkembang menjadi antara ekspo perniagaan terbesar negara yang menghimpunkan pelabur, pemimpin industri, pembuat dasar, pengilang serta usahawan bagi meneroka peluang perniagaan, membentuk kerjasama strategik dan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Edisi ke-10 yang menjadi mercu tanda penganjuran itu turut mencerminkan usaha lebih luas kerajaan negeri dalam memperluas jejak ekonomi Selangor di peringkat serantau menerusi inisiatif baharu SIBS@ASEAN.

Hasan berkata, penganjuran SIBS@ASEAN baru-baru ini di Bandung, Indonesia berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta dari Selangor dan Jawa Barat.

“Ekspo itu memberi tumpuan kepada sektor pendidikan dan pelancongan perubatan, manakala forum perniagaan yang dianjurkan melibatkan perbincangan berkaitan aeroangkasa, rel dan mobiliti, elektrik dan elektronik serta industri kreatif dan teknologi.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila peserta menunjukkan minat tinggi untuk meneroka peluang dalam pasaran Jawa Barat,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Hasan berkata SIBS di Kuala Lumpur akan mengetengahkan rangkaian industri dan peluang pelaburan yang lebih luas menerusi tujuh segmen teras, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan dan perniagaan serantau.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.