KUALA LUMPUR, 16 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 merekodkan potensi nilai transaksi kira-kira RM3.7 bilion dalam tempoh tiga hari pertama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.
Beliau berkata acara itu turut menarik 45,050 pengunjung selain membuka peluang pertanyaan perdagangan, jaringan perniagaan rentas sempadan dan kerjasama dalam pelbagai sektor industri.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa setakat hari ini, SIBS 2026 mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan kehadiran 45,050 pengunjung serta anggaran potensi nilai transaksi sebanyak RM3.7 bilion sepanjang acara tiga hari ini,” katanya pada majlis makan malam penghargaan SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Hasan berkata kejayaan SIBS bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah pengunjung dan potensi nilai transaksi, malah turut merangkumi hubungan perniagaan jangka panjang, urusan strategik serta kepercayaan yang terjalin antara peserta.
“Itulah semangat sebenar SIBS, iaitu menghimpunkan pelbagai pihak untuk mencetuskan inovasi dan memacu pertumbuhan serantau yang mampan,” katanya.
Beliau berkata Invest Selangor akan terus mempromosikan industri berimpak tinggi, transformasi digital dan kerjasama rentas sempadan, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Katanya, kedudukan strategik Selangor, infrastruktur maju, rantaian bekalan berdaya tahan, kepelbagaian tenaga kerja mahir serta kerajaan yang mesra perniagaan akan terus menyokong syarikat yang ingin mengembangkan operasi ke pasaran ASEAN.
Hasan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, rakan strategik SIBS, penaja, pempamer, penceramah, pelabur dan pihak penganjur atas sumbangan menjayakan penganjuran SIBS kali ke-10.
SIBS anjuran Invest Selangor yang berlangsung sehingga esok menghimpunkan pemain industri, pelabur dan syarikat tempatan serta antarabangsa bagi meneroka peluang pelaburan, memperkukuh kerjasama perniagaan dan mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serantau.







