KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ekonomi Selangor yang kukuh serta pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjadi faktor utama pengeluar bateri, Linergy Power Sdn Bhd memilih negeri ini sebagai pangkalan operasinya di Malaysia.
Pengurus Besarnya, Shelwin Xu berkata, syarikat itu kini sedang meneliti lokasi bagi fasa ketiga peluasan operasinya yang dijangka lima kali lebih besar berbanding fasiliti sedia ada bagi Fasa 1 dan Fasa 2 di Serendah seluas 36.4 hektar.
“Kami memilih Selangor kerana negeri ini merupakan hab ekonomi terbesar Malaysia bersama Kuala Lumpur. Selangor mempunyai KDNK tertinggi dan menjadi tumpuan pelabur serta perniagaan untuk berkembang.
“Bagi Fasa 3, kami lebih cenderung untuk kekal di Selangor. Kami akan berusaha sedaya upaya mencari lokasi di negeri ini, tetapi keputusan masih belum dibuat,” katanya kepada Media Selangor dalam temubual eksklusif pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Fasiliti Linergy Power Fasa 1 memulakan pengeluaran besar-besaran awal tahun ini, manakala pembinaan Fasa 2 sedang berlangsung dan dijangka mula beroperasi pada awal 2027.
Xu berkata, syarikat itu melabur hampir AS$ 500 juta (kira-kira RM2 bilion) bagi fasiliti Fasa 1, manakala Fasa 2 turut dianggarkan melibatkan pelaburan AS$ 500 juta. Pelaburan awal bagi Fasa 3 pula dianggarkan mencecah AS$1.5 bilion.
“Syarikat turut menyasarkan pendapatan tahunan kira-kira AS$5 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” tambahnya.
Selain pelaburan, syarikat itu merancang untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja daripada sekitar 2,000 pekerja ketika ini kepada 4,000 orang menjelang pertengahan 2027, manakala Fasa 3 berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada 8,000 orang.
Beliau menegaskan, syarikat itu akan terus komited membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh rantaian bekalan dalam negara.
“Kami berusaha menarik graduan baharu dan golongan muda berbakat untuk menyertai syarikat kerana mahu membina tenaga kerja tempatan yang kukuh, termasuk dalam bidang pengurusan,” katanya.

Linergy Power menghasilkan bateri litium-ion untuk pelbagai kegunaan, termasuk dron, sistem penyimpanan tenaga kediaman, peralatan kuasa dan pusat data kecerdasan buatan (AIDC).
Xu berkata, produk bateri khusus untuk AIDC yang dihasilkan syarikat itu mampu menyokong keperluan pengurusan kuasa, termasuk menstabilkan turun naik beban elektrik, sekali gus membolehkan syarikat menyumbang kepada pertumbuhan sektor infrastruktur digital Malaysia.
Sementara itu, beliau menyifatkan SIBS sebagai platform yang menghubungkan syarikat dengan bakal pekerja. Katanya, publisiti lebih meluas sebelum penganjuran acara serta penglibatan lebih aktif institusi pendidikan dapat menggalakkan lebih ramai graduan meneroka peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Platform ini boleh menjadi jambatan yang menghubungkan syarikat dengan bakat,” katanya.
Linergy Power menyertai Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK), yang merupakan komponen utama SIBS yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober.








