SHAH ALAM, 14 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menyeru rakyat memanfaatkan kemudahan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang disediakan dengan sebaiknya.
Tengku Amir Shah bertitah kemudahan itu bukan sahaja menghubungkan komuniti, malah mempertingkat kecekapan mobiliti harian menerusi sistem pengangkutan yang lebih selesa, lancar dan mampan.
“Satu lagi lembaran baharu buat Selangor. LRT3 Laluan Shah Alam kini menjadi realiti. Tahniah dan penghargaan kepada lebih 13,000 individu serta semua pihak yang telah mencurahkan tenaga, kepakaran dan komitmen sepanjang perjalanan merealisasikan projek ini.
“Semoga kemudahan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup pengangkutan awam yang lebih moden untuk masa hadapan,” kongsi baginda di Facebook.
Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menaiki LRT3 Laluan Shah Alam bagi meninjau perkhidmatan pengangkutan awam itu yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Tengku Amir Shah.
Baginda mengambil kedudukan di bahagian hadapan koc untuk meninjau keadaan sepanjang perjalanan sejauh 37.8 kilometer menuju Stesen Johan Setia yang merangkumi 20 stesen perhentian termasuk laluan bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer.
Menerusi lawatan tersebut, Baginda menzahirkan rasa teruja untuk menyaksikan lima lagi stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam disiapkan bagi melengkapkan kemudahan pengangkutan awam berkenaan.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, lima stesen yang masih tertangguh pembinaannya iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar, khususnya majoriti masyarakat Melayu di kawasan berhampiran.
Titah Baginda, adalah lebih baik sekiranya keseluruhan laluan LRT3 dapat disiapkan mengikut perancangan asal kerana perkhidmatan tren berkenaan merupakan kemudahan pengangkutan awam penting untuk keselesaan rakyat.









