RMS tinjau Kebun Bandar@Cyberjaya, rasai pengalaman desa di tengah bandar

10 Jun 2026, 9:34 AM
RMS tinjau Kebun Bandar@Cyberjaya, rasai pengalaman desa di tengah bandar
RMS tinjau Kebun Bandar@Cyberjaya, rasai pengalaman desa di tengah bandar
RMS tinjau Kebun Bandar@Cyberjaya, rasai pengalaman desa di tengah bandar
RMS tinjau Kebun Bandar@Cyberjaya, rasai pengalaman desa di tengah bandar

SEPANG, 10 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan melawat Kebun Bandar@Cyberjaya yang dibangunkan berasaskan konsep pelancongan agro-pendidikan sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 daerah Sepang hari ini.

Sepanjang lawatan kira-kira sejam itu, Tengku Amir Shah berkenan menyertai pelbagai aktiviti yang mengetengahkan pengalaman kehidupan desa termasuk membanting padi, melepaskan itik ke kolam serta memberi makan kepada itik dan angsa.

Baginda turut melawat kawasan sawah padi dan tanaman pelbagai jenis pokok buah-buahan yang menjadi antara tarikan utama kebun bandar berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke tapak projek angkat GRS 4 ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sepang di Kebun Bandar @ Cyberjaya, Sepang pada 10 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kebun Bandar@Cyberjaya yang dibangunkan sejak 2024 berasaskan konsep pelancongan agro-pendidikan menawarkan pengalaman suasana desa di tengah bandar menerusi aktiviti pertanian, penternakan dan pendidikan alam sekitar.

Projek seluas 10 ekar itu kini menempatkan empat plot sawah padi, kawasan tanaman sayuran dan herba, pelbagai spesies pokok buah-buahan tempatan serta haiwan ternakan seperti itik, angsa dan ayam.

Setakat ini, sebanyak 400 kilogram hasil padi varieti Mardi Siraj 297 berjaya dituai, manakala lebih 550 spesies pokok buah-buahan termasuk spesies nadir seperti sentul, tampoi dan sukun turut ditanam di kawasan berkenaan.

Sejak dibuka kepada orang ramai, kebun bandar itu menerima kira-kira 5,000 pengunjung selain mendapat pengiktirafan antarabangsa hasil konsep unik yang menggabungkan pengalaman suasana desa dengan persekitaran semula jadi di tengah kawasan bandar.

Sebagai Projek Angkat GRS, Kebun Bandar@Cyberjaya turut menerima dana RM500,000 bagi menaik taraf ekosistem aliran air semula jadi sepanjang 500 meter, termasuk pembangunan sistem penapisan air berasaskan alam semula jadi, pembinaan kolam ekologi dan penyediaan sumber air untuk pertanian serta penternakan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima cenderahati daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dr Ani Ahmad sempena lawatan tapak projek angkat GRS 4 ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sepang di Kebun Bandar @ Cyberjaya, Sepang pada 10 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA

Terdahulu, Tengku Amir Shah turut berkenan meninjau projek penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Bridge Data Centre di Surau Serin Residency, Cyberjaya.

Sebelum ini, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail memaklumkan GRS 2.0 memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, kerja baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur dengan tumpuan kepada kemudahan yang memerlukan perhatian segera.

Program GRS yang diperkenalkan tahun lalu bertujuan memperkukuh perpaduan masyarakat, sistem kemasyarakatan dan hubungan sosial dalam kalangan rakyat Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.