Raja Muda Selangor berkenan saksikan bayaran zakat niaga RM11.48 juta

3 Sep 2026, 11:55 AM
Raja Muda Selangor berkenan saksikan bayaran zakat niaga RM11.48 juta

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan bayaran zakat perniagaan daripada 44 syarikat berjumlah RM11.48 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Cek cura bayaran zakat diserahkan oleh pembayar kepada Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail menerusi majlis hi-tea di Kelab Shah Alam, hari ini, yang menghimpunkan kira-kira 200 pengeluar zakat daripada pelbagai latar belakang, termasuk usahawan muda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari dalam ucapannya berkata, potensi kutipan zakat perniagaan di Selangor masih besar mengambil kira kegiatan ekonomi dan perniagaan yang pesat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) Mohd Khaidzur Shahari ditemui media selepas Majlis Hi-Tea Bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Kelab Shah Alam, Shah Alam pada 3 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Apa yang lebih penting bukan sekadar mencapai angka tersebut. Matlamat yang lebih besar adalah untuk memastikan lebih banyak syarikat dan usahawan memahami peranan mereka dalam berzakat dan seterusnya tampil menunaikan kewajipan ini.

“Zakat Selangor menetapkan sasaran kutipan dan agihan zakat keseluruhan sebanyak RM1.37 bilion tahun ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM234 juta disasarkan daripada kutipan zakat perniagaan,” katanya.

Majlis berkenaan merupakan kerjasama antara Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dalam mendekati pengeluar zakat, khususnya daripada sektor korporat dan kalangan usahawan.

Kerjasama itu turut menyokong usaha YRMS dalam pembangunan potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras dengan aspirasi Raja Muda Selangor.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan wakalah kepada Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda pada Majlis Hi-Tea Bersama DYTM Raja Muda Selangor di Kelab Shah Alam pada 3 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis sama, YRMS turut menerima dana wakalah berjumlah RM400,000, iaitu RM300,000 daripada Worldwide Holdings Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi menyokong program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang diusahakan yayasan itu.

“Wakalah membolehkan syarikat atau individu yang menunaikan zakat menerima semula sebahagian tertentu daripada zakat untuk disalurkan sendiri kepada asnaf di bawah pemantauan Zakat Selangor, tertakluk kepada hukum syarak,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima serahan simbolik wakalah daripada Pengasas D'Herbs, Dato' Sri Aliff Syukri Kamarzaman pada Majlis Hi-Tea Bersama DYTM Raja Muda Selangor di Kelab Shah Alam pada 3 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Mohd Khaidzir turut menyeru syarikat, usahawan dan peniaga supaya menunaikan zakat di negeri tempat perniagaan mereka dijalankan, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan di Selangor.

“Apabila sesebuah perniagaan beroperasi, berkembang dan menjana hasil dalam sesebuah negeri, perniagaan tersebut turut mendapat manfaat daripada kitaran ekosistem yang wujud.

“Daripada tenaga kerja dan pelanggan sehinggalah kepada kemudahan, pembangunan serta komuniti yang menyokong pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan lima syarikat menerima Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF), iaitu D'Herbs Holdings Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie Sdn Bhd, Wawa Global Sdn Bhd dan V'Asia Health & Beauty.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama pengeluar zakat pada Majlis Hi-Tea Bersama DYTM Raja Muda Selangor di Kelab Shah Alam pada 3 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.