SHAH ALAM, 14 JULAI: Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) Malaysia meningkat kepada 105.1 mata pada 2024 berbanding 103.1 mata pada 2023, mencerminkan peningkatan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan indeks kos sara hidup tertinggi masing-masing pada 106.3 mata, 106.1 mata dan 105.4 mata.
Katanya, Kedah dan Kelantan pula mencatatkan indeks terendah, masing-masing 104.6 mata dan 103.9 mata.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kajian kerajaan terhadap jurang pertumbuhan pendapatan sebenar isi rumah berbanding peningkatan kos sara hidup sejak 2018.
Menurut Akmal, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, purata pendapatan isi rumah meningkat daripada RM8,479 pada 2022 kepada RM9,155 pada 2024, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.8 peratus.
Dalam tempoh sama, purata perbelanjaan isi rumah turut meningkat daripada RM5,150 kepada RM5,566, dengan kadar pertumbuhan tahunan 3.9 peratus.

Beliau berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan asas terus memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah dan pekerja miskin.
Akmal turut memaklumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) meningkat daripada RM2,589 pada 2022 kepada RM2,705 pada 2024, manakala Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) meningkat daripada RM4,729 kepada RM4,846 sebulan.
Menurutnya, jurang PAKW antara kawasan bandar dan luar bandar semakin ketara, dengan purata RM5,169 sebulan di bandar berbanding RM3,712 di luar bandar, menunjukkan kos sara hidup lebih tinggi di kawasan bandar.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan menangani kos sara hidup menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan strategi meningkatkan pendapatan rakyat serta mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Bagi langkah jangka pendek, Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM15 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain RM3.1 bilion untuk program kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan menumpukan usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti, melaksanakan Dasar Gaji Progresif, menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, memperkukuh pembangunan bakat serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan reformasi pendidikan.








