Belanjawan 2027: Subsidi RM80 bilion bantu rakyat hadapi kos sara hidup

12 Okt 2026, 2:20 AM
Belanjawan 2027: Subsidi RM80 bilion bantu rakyat hadapi kos sara hidup
Belanjawan 2027: Subsidi RM80 bilion bantu rakyat hadapi kos sara hidup

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Peruntukan subsidi, bantuan dan insentif melebihi RM80 bilion yang dibentangkan pada Belanjawan 2027 dapat membantu memelihara kuasa beli rakyat ketika berdepan tekanan kos sara hidup dan risiko kenaikan inflasi.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu penting memandangkan kadar inflasi pada 2027 yang dijangka berada antara 1.8 hingga 2.8 peratus dapat ditangani dengan lebih tuntas.

“Perkara ini berikutan situasi harga bahan api dijangka kekal tinggi berikutan perang di Asia Barat yang tidak diketahui bila titik noktahnya.

“Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion akan membantu dalam menyuntik pendapatan tambahan sekali gus kuasa beli rakyat terutama bagi golongan pendapatan menengah dan rendah,” katanya kepada Bernama.

Jumaat lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat berkata penerima STR akan menerima SARA hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, manakala rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata peruntukan itu, termasuk RM40 bilion untuk subsidi bahan api serta hampir RM3.3 bilion bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata bantuan tunai dan subsidi tidak seharusnya menjadi penyelesaian jangka panjang, sebaliknya perlu disusuli usaha meningkatkan kemahiran, produktiviti dan pendapatan rakyat agar mereka mampu keluar daripada kumpulan penerima bantuan.

Mustazar berkata selain peningkatan gaji, keadaan ekonomi dan perniagaan yang lebih baik penting bagi membolehkan rakyat berdikari dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.

“Dalam jangka panjang, diharapkan mereka menerima suntikan dari segi pendidikan, latihan dan peningkatan produktiviti supaya dapat keluar daripada golongan penerima bantuan,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr Saravanan Thambirajah, belanjawan kali ini berjaya memberi perhatian wajar terhadap kos sara hidup, peningkatan pendapatan serta penambahbaikan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, beliau berkata tekanan kewangan bukan sahaja dihadapi golongan B40, malah turut dirasai M40 yang perlu menanggung komitmen bulanan seperti ansuran rumah dan kenderaan, persekolahan dan penjagaan kanak-kanak, insurans perubatan serta ibu bapa yang semakin berusia.

Saravanan berkata pendapatan yang kelihatan stabil tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar sesebuah isi rumah kerana baki pendapatan selepas ditolak komitmen bulanan mungkin terhad.

"Sebagai contoh, ada keluarga M40 dengan pendapatan lebih RM7,000 sebulan namun perlu menanggung tiga orang anak dan ibu bapa warga emas berkemungkinan menghadapi tekanan kewangan lebih besar berbanding keluarga berpendapatan lebih rendah tetapi mempunyai tanggungan sedikit.

"Oleh itu, kemampuan isi rumah perlu dinilai berdasarkan pendapatan boleh guna dan komitmen sebenar, bukan jumlah pendapatan semata-mata," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.