SHAH ALAM, 14 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) kini mempunyai autonomi penuh untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan sendiri selepas kuasa itu diserahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus dijangka mempercepat pengisian kekosongan doktor di hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kuasa yang berkuat kuasa pada 9 Julai itu membolehkan kementerian mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pengurusan sumber manusia.
Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan pelantikan tetap, menjadikan lebih 18,500 doktor berjaya diserap ke jawatan tetap di bawah Kerajaan MADANI sejak 2023.
"Autonomi ini membolehkan KKM mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan supaya pengisian doktor di hospital dapat dilaksanakan dengan lebih pantas," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata semua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu mulai Julai 2026 dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh mengikut peraturan kewangan sedia ada.
Katanya, tuntutan itu meliputi elaun makan, penginapan hotel serta kos pengangkutan barang, sekali gus menamatkan isu doktor yang sebelum ini terpaksa menanggung kos perpindahan menggunakan wang sendiri.
"Isu legasi yang sekian lama membelenggu para doktor akhirnya berjaya diselesaikan secara tuntas," katanya.
Mengulas isu graduan perubatan luar negara, beliau berkata Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kini melaksanakan proses penilaian baharu yang lebih telus bagi menilai program perubatan luar negara yang belum tersenarai untuk tujuan pengiktirafan.
Menurutnya, setakat ini lapan universiti dari China telah mengemukakan permohonan rasmi untuk dinilai.
Dzulkefly berkata pelbagai langkah itu bertujuan mewujudkan ekosistem kerja yang lebih kondusif dan adil, selain memastikan bakat terbaik terus kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.
Beliau berkata kebajikan petugas kesihatan yang lebih terjamin akan membolehkan sistem kesihatan negara memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkualiti kepada rakyat.








