Kerajaan sedia 9,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak pada 2027

11 Okt 2026, 9:26 AM
Kerajaan sedia 9,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak pada 2027
Kerajaan sedia 9,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak pada 2027

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan menambah 4,500 jawatan tetap untuk doktor kontrak, menjadikan jumlah keseluruhan 9,000 jawatan tetap pada 2027 bagi menangani isu perjawatan doktor kontrak.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah tersebut diambil bagi menangani isu berkenaan secara lebih tersusun selepas berlarutan hampir sedekad sejak 2016.

“Isu ini sudah hampir sedekad berlarutan sejak 2016. Justeru, tambahan 4,500 jawatan tetap yang ditawarkan menjadikannya sebanyak 9,000 jawatan tetap sebagai komitmen kerajaan.

“Bagaimanapun, tawaran jawatan tetap ini hanya melibatkan doktor kontrak dan bukan pegawai farmasi serta pegawai pergigian,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata strategi pelaksanaan serta peruntukan yang diterima akan dibincangkan segera bagi memastikan langkah itu dapat dilaksanakan seawal mungkin.

Katanya, perbincangan itu penting bagi menentukan kaedah pelaksanaan yang bersesuaian, termasuk pengurusan proses penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap mengikut strategi yang dipersetujui.

“Proses pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat mengikut kohort yang akan ditentukan dengan butiran mengenai kumpulan terlibat akan dimaklumkan selepas perbincangan berkaitan selesai dijalankan.

“Kerajaan akan memastikan pelaksanaan dibuat berdasarkan strategi yang dipersetujui serta peruntukan yang tersedia seperti dimaklumkan menerusi pembentangan belanjawan baru-baru ini,” tambahnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan.

Beliau berkata, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan bagi memastikan laluan kerjaya doktor dalam sistem kesihatan lebih terjamin.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.