HTAR terima peruntukan RM2.5 juta, naik taraf kemudahan pesakit

18 Nov 2026, 7:34 AM
HTAR terima peruntukan RM2.5 juta, naik taraf kemudahan pesakit
HTAR terima peruntukan RM2.5 juta, naik taraf kemudahan pesakit

KLANG, 18 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini meluluskan peruntukan RM2.5 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi memperkukuh keselamatan, kapasiti dan kelancaran aliran pesakit.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan yang akan disalurkan itu antaranya projek fizikal berjumlah RM1.59 juta melibatkan naik taraf sistem pengurusan giliran atau QMS di Kompleks Rawatan Harian (ACC) bernilai RM750,000, sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (RM350,000), auditorium serta bilik mesyuarat (RM485,000).

"Selain itu, peruntukan yang diluluskan meliputi perolehan peralatan perubatan berjumlah RM750,000, perolehan kamera dan Video Endoscope Dewan Bedah (RM605,000), tiga unit Defibrillator (RM90,000) dan satu unit Diathermy (RM55,000).

"Peralatan bukan perubatan pula berjumlah RM160,000, melibatkan 250 unit Cardiac Table untuk wad Bangunan Utama (RM100,000) dan 50 kerusi berangkai di ruang menunggu klinik serta lobi (RM60,000)," katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas melakukan lawatan kerja rasmi di hospital itu hari ini yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Dr Nor Hayati Ibrahim, Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor Dr Md Razis Ramli dan Pengarah HTAR Dr Muhammad Yusof Sibert.

Dzulkefly berkata status pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur, perolehan aset perubatan dan bukan perubatan yang diumumkan tahun lepas turut berjalan dengan lancar.

"Kemudahan lif di KRIBA pula sedang dalam proses penukaran manakala kerja menaik taraf penyaman udara bagi keselesaan pesakit serta petugas sedang dilaksanakan," katanya.

Mengulas isu kekurangan parkir kenderaan di HTAR, beliau berkata hospital itu kini mempunyai 2,100 lot parkir dan akan menambah 72 lot parkir mekanikal yang telah siap kira-kira 90 peratus setakat ini, bertujuan memaksimumkan penggunaan tanah dan ruang yang ada.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata lawatan kerja berkenaan bertujuan meninjau secara langsung pengoperasian fasiliti, penyampaian perkhidmatan dan projek naik taraf sedia ada.

Beliau berkata lawatan itu juga signifikan kerana ia diadakan tepat setahun selepas tinjauan mengejut beliau ke HTAR pada 18 November tahun lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.