Rel Kita Selangor dibina tahun depan, kawasan selatan fasa pertama

14 Jul 2026, 12:00 AM
Rel Kita Selangor dibina tahun depan, kawasan selatan fasa pertama
Rel Kita Selangor dibina tahun depan, kawasan selatan fasa pertama

SUNGAI BULOH, 14 JULAI: Jajaran pertama Projek Rel Kita Selangor yang menghubungkan kawasan selatan negeri dijangka mula dibangunkan tahun depan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri kini berada di peringkat akhir memuktamadkan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan projek berkenaan.

Menurut beliau, kawasan selatan dipilih sebagai fasa permulaan berikutan permintaan tinggi terhadap penggunaan pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

"Saya percaya menjelang tahun hadapan akan mula satu jajaran hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan. Kita akan bermula dari selatan sebab di sana ada permintaan tinggi.

"Saya percaya Rel Kita Selangor akan menjadi satu blueprint yang boleh dimanfaatkan pada masa depan dalam projek jangka panjang kerana kos pembinaan rel ini tinggi dan akhirnya akan dibiayai oleh kerajaan.

"Sebab itu saya perlu berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai langkah-langkah seterusnya supaya pembinaan rel ini dapat menghubungkan kawasan selatan sehingga ke utara Selangor," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah kampus baharu Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng di Bandar Seri Coalfields, di sini, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menjangkakan perkembangan positif projek itu tahun depan apabila sebahagian pelaksanaannya dapat dimulakan sebaik rundingan dengan Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan.

Mengulas mengenai jajaran rel berkenaan, beliau memaklumkan laluan asas telah dikenal pasti, manakala cadangan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan pelaksanaan.

"Jajaran memang sudah ada. Cadangan akan dibuat dari semasa ke semasa apabila projek ini dilaksanakan.

"Setakat ini, sebahagian besar jajaran melibatkan tanah kerajaan dan saya rasa tidak ada masalah untuk kita membangunkan Rel Selangor Kita pada masa depan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.