Kes buli dan ugut pelajar perempuan, empat individu ditahan

14 Jul 2026, 12:15 AM
Kes buli dan ugut pelajar perempuan, empat individu ditahan

BEAUFORT, 14 JULAI: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes buli dan ugutan jenayah melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Membakut di sini baru-baru ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa, yang mendakwa menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang kali serta ugutan daripada sekumpulan individu.

“Bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort melancarkan tindakan pantas menerusi operasi risikan sebelum berjaya memberkas kesemua suspek di sekitar daerah ini,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan atau buli yang mencetuskan ketakutan serta tekanan, selain Seksyen 506 kanun sama bagi kesalahan ugutan jenayah.

Siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan, sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan dan arahan perundangan seterusnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai, khususnya pihak sekolah dan ibu bapa, agar sentiasa peka dengan keselamatan pelajar serta segera melaporkan sebarang salah laku buli atau pemerasan.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi dalam media sosial bagi mengelakkan gangguan terhadap proses perundangan dan siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.