KUANTAN, 25 NOV: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk dan mencederakan empat individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun menggunakan parang di Kampung Berchang, Lipis, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Ismail Man berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 6.36 petang dan lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada 7.10 malam hari yang sama.
"Lelaki itu kemudian dirujuk ke Wad Psikiatri Hospital Bentong selepas menjalani pemeriksaan kesihatan. Dia kini berada di hospital itu untuk pemeriksaan mental," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua mangsa mengalami kecederaan ringan serta stabil dan mereka turut membuat laporan polis di Balai Polis Padang Tengku berhubung kejadian itu.
Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
-- BERNAMA







