Malaysia bakal miliki undang-undang khusus perubahan iklim

13 Jul 2026, 9:51 AM
Malaysia bakal miliki undang-undang khusus perubahan iklim

KOTA KINABALU, 13 JULAI: Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini bakal menjadikan Malaysia antara negara mempunyai undang-undang khusus berkaitan perubahan iklim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata RUU itu jika diluluskan, akan meletakkan Malaysia sebagai negara kedua di rantau ASEAN yang mempunyai undang-undang berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup. Foto BERNAMA

“Pada peringkat global pula, Malaysia akan menjadi kira-kira negara ke-60 yang mempunyai undang- undang khusus berkaitan perubahan iklim,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sabah Asia-Pacific Impact Investing for Sustainable Development Summit 2026 di sini hari ini.

Arthur berkata selepas RUU PIN diluluskan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut melaksanakan cukai karbon sebagai insentif bagi menggalakkan industri beralih kepada kaedah pemprosesan, operasi yang lebih mesra alam serta penggunaan teknologi hijau.

“Cukai karbon ini, walaupun rangka kerja dan dasarnya dibangunkan oleh NRES, pelaksanaannya akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau menegaskan cukai karbon bukan bertujuan menghukum industri, sebaliknya perlu dilihat sebagai langkah menggalakkan peralihan ke arah operasi yang lebih mampan dan mesra alam.

Sementara itu, Arthur berkata Sabah mempunyai kelebihan besar dengan liputan hutan kira-kira 63 peratus, sekali gus menyumbang kepada liputan hutan negara sebanyak 54.4 peratus, iaitu melebihi kadar minimum obligasi antarabangsa sebanyak 50 peratus yang dipersetujui dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

“Melalui sidang kemuncak seperti ini, kita berharap lebih ramai pelabur dan pengamal teknologi hijau akan datang ke Sabah bagi membantu memenuhi keperluan pembangunan, sambil mengimbangi usaha pemuliharaan hutan serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.