Akses LRT3 perlu diperkasa, tarik lebih ramai pengguna

14 Jul 2026, 8:00 AM
Akses LRT3 perlu diperkasa, tarik lebih ramai pengguna
Akses LRT3 perlu diperkasa, tarik lebih ramai pengguna
Akses LRT3 perlu diperkasa, tarik lebih ramai pengguna

SHAH ALAM, 14 JULAI: Akses ke stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) perlu terus diperkasa bagi menarik lebih ramai penduduk beralih kepada pengangkutan awam sebagai pilihan utama perjalanan harian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron berkata sambutan terhadap perkhidmatan itu amat menggalakkan, terutama dalam kalangan pengguna yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Menurutnya, kekerapan tren yang lebih tinggi dengan tempoh menunggu lebih singkat menjadikan LRT3 alternatif lebih pantas dan praktikal untuk berulang-alik ke tempat kerja serta destinasi lain.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid bercakap kepada media selepas Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 2 dalam Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 22 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Penduduk sangat teruja kerana sebelum ini mungkin hanya ada KTM. Dengan adanya LRT ini, masa menunggu sangat pendek, bawah 10 atau 15 minit.

“Ia boleh menjadi satu pilihan untuk orang ramai pergi ke tempat kerja, sama ada menuju Klang, Johan Setia atau ke arah Damansara Utama,” katanya.

Bagaimanapun, Danial berkata kemudahan parkir di kebanyakan stesen masih terhad dan tidak mampu menampung jumlah pengguna yang tinggi.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan sistem pengangkutan sokongan lebih berkesan, termasuk perkhidmatan bas, e-panggilan dan laluan pejalan kaki yang selamat serta mudah digunakan.

“Laluan bas perlu dilihat semula supaya penduduk tahu terdapat perkhidmatan berhampiran rumah yang boleh membawa mereka terus ke stesen.

“Disebabkan parkir tidak banyak disediakan, pilihan yang ada ialah menggunakan pengangkutan awam dari rumah. Selain menjimatkan minyak, ia juga dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Orang ramai menggunakan perkhidmatan Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ketika tinjauan di stesen Seri Andalas pada 2 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Danial berkata aspek konektiviti dalam lingkungan stesen turut berada dalam perhatian, termasuk penyediaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan sekitar dengan kemudahan rel berkenaan.

Dalam perkembangan pembangunan kawasan, beliau berkata pertumbuhan sektor logistik di Shah Alam dijangka turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

Menurutnya, lebih 15 pusat logistik dirancang dibangunkan, termasuk satu projek di Padang Jawa yang dijangka menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan.

Beliau berharap penduduk tempatan dan masyarakat sekitar diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan berkenaan sebelum ditawarkan kepada tenaga kerja luar.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.