SHAH ALAM, 13 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengkaji semula kadar kompaun terhadap majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah, termasuk mencadangkan kenaikan jika hukuman maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja didapati tidak lagi berkesan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata masih terdapat majikan yang berdegil menggaji pekerja asing tanpa dokumen walaupun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kompaun maksimum yang boleh dikenakan ketika ini ialah RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah.
"Jika kadar itu masih tidak berkesan, kita akan mengkajinya dan kemungkinan mencadangkan kepada kerajaan supaya jumlah kompaun dinaikkan," katanya pada sidang media selepas Op Mega di sekitar Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, hari ini.
Zakaria berkata, terdapat majikan yang dikenakan kompaun mencecah ratusan ribu ringgit kerana menggaji sejumlah besar pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang.
Menurutnya, tindakan tegas yang diambil kini mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan yang masih melakukan kesalahan berkenaan.
"Kita percaya kompaun yang tinggi bagi setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah mampu memberi kesedaran kepada majikan. Namun, masih ada yang memilih mengambil pekerja asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos pengambilan melalui saluran sah," katanya.
Beliau berkata, pengambilan pekerja asing secara sah melibatkan pelbagai kos termasuk fi pemprosesan dan pengangkutan, menyebabkan ada majikan memilih pekerja tanpa dokumen kerana hanya perlu membayar gaji yang lazimnya lebih rendah.
Sehubungan itu, Zakaria menyarankan majikan yang masih menggaji pekerja asing secara tidak sah supaya segera menghantar pulang mereka secara sukarela menerusi Program Repatriasi Migran atau membuat permohonan kuota pekerja asing melalui Kementerian Sumber Manusia.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata tindakan terhadap premis atau lesen perniagaan majikan yang melakukan kesalahan itu turut dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama agensi berkaitan.
Katanya, setiap agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mempunyai bidang kuasa masing-masing untuk mengambil tindakan.
"Kita mengharapkan semua agensi mengambil tindakan tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing," katanya.







