Imigresen tumpas kegiatan pelacuran jana RM540,000 setahun

24 Ogos 2026, 8:46 AM
Imigresen tumpas kegiatan pelacuran jana RM540,000 setahun

PUTRAJAYA, 24 OGOS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan pelacuran yang dipercayai beroperasi secara tersusun sejak kira-kira setahun dan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun, menerusi serbuan di tiga lokasi sekitar Seremban, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula 2 petang itu, menyaksikan 57 individu berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan, termasuk tujuh lelaki tempatan.

Beliau berkata turut ditahan ialah tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar, selain 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh dan seorang wanita India.

“Siasatan mendapati kegiatan ini dijalankan dengan menempatkan perempuan warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet, yang disewa secara harian atau bagi tempoh antara seminggu hingga sebulan.

“Premis ini dipercayai diurus dan dikawal oleh warga tempatan dan warga asing, yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata perempuan warga asing tersebut dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan, kepada pelanggan yang terdiri daripada warga asing dan tempatan.

“Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun, dengan struktur pengurusan yang tersusun bagi memastikan kegiatan tersebut terus beroperasi dan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000.00 setahun,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di premis turut menemukan beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom yang kemudiannya disita.

Zakaria berkata tujuh warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut.

Operasi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, susulan maklumat awal berkaitan warga Indonesia yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral serta hasil risikan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.