SERDANG, 13 JULAI: Rumah Bumbung Panjang Selangor yang bakal dibina di Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menjadi pusat rujukan warisan Melayu menerusi fungsinya sebagai korpus ilmu bagi penyelidikan dalam bidang seni bina, sejarah dan antropologi.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pembinaan rumah itu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk melengkapkan koleksi Rumah Negeri Selangor.
Beliau berkata Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut menyalurkan sumbangan RM250,000 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi merealisasikan pembinaan projek berkenaan.

"Rumah ini bukan sekadar mempamerkan keunikan seni bina tradisional Melayu malah akan menjadi korpus ilmu yang bernilai untuk penyelidikan serta memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai warisan negeri.
"Kerajaan Negeri komited memelihara identiti bangsa dan warisan budaya Selangor untuk generasi akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu UPM, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata titah Sultan Selangor menjadi medium penting dalam membentuk jati diri dan memperkukuh peradaban bangsa Melayu merentasi zaman.
“Kami menyambut baik kerjasama dengan UPM dan berharap Rumah Bumbung Panjang Selangor ini menjadi sumber ilmu yang dapat dimanfaatkan masyarakat serta generasi akan datang.
“Pada masa sama, PNSB turut mengutamakan pemeliharaan seni bina warisan Melayu menerusi beberapa projek pembangunan termasuk Kompleks Islam Gombak dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sabak Bernam,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Dato' Profesor Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pembinaan rumah berkenaan menterjemahkan hasil kajian dan penelitian yang dilaksanakan bersama Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, rumah itu menampilkan keunikan seni bina tradisional menerusi penggunaan bumbung perabung panjang, loteng tradisional, ukiran tebuk tembus bermotifkan unsur organik dan geometri, daun tingkap boleh laras serta pertukangan halus Melayu.
"Rumah ini bukan sahaja menjadi pusat rujukan pembelajaran dan penyelidikan, malah membuka ruang kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat untuk memahami nilai warisan seni bina Melayu dengan lebih mendalam.
"UPM berbangga dapat menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam memastikan warisan ini terus dipelihara, menjadi sumber rujukan ilmu serta menyemai penghargaan terhadap seni bina tradisional Melayu dalam kalangan generasi akan datang,” tambahnya.
Projek pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor merupakan kesinambungan daripada Sambutan Jubli Mutiara Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) yang turut dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mei tahun lalu.
Rumah Bumbung Panjang Selangor yang dibina atas tapak seluas 750 kaki persegi di Muzium Warisan Melayu UPM itu akan melengkapkan koleksi rumah tradisional sedia ada dari Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu yang dipamerkan di muzium berkenaan.










