Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal diwartakan identiti negeri

13 Jul 2026, 12:00 PM
Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal diwartakan identiti negeri
Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal diwartakan identiti negeri
Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal diwartakan identiti negeri
Rumah Bumbung Panjang Selangor bakal diwartakan identiti negeri

SERDANG, 13 JULAI: Kerajaan Negeri merancang mewartakan seni bina Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai identiti negeri dalam usaha memperkukuh pemeliharaan warisan budaya Melayu.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata rumah tradisional yang sedang dibina di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut berpotensi menjadi ikon pelancongan baharu di Selangor.

Menurut beliau, Rumah Bumbung Panjang Selangor mempunyai keunikan tersendiri berbanding rumah tradisi negeri lain kerana setiap ruang dibina dengan maksud dan falsafah tertentu yang mencerminkan cara hidup, adat resam serta nilai masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

"Rumah ini bukan sahaja melambangkan identiti seni bina tradisional Selangor malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu serta pusat memperkenalkan warisan budaya negeri kepada masyarakat.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berucap ketika Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu UPM pada 13 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Justeru, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk mewartakan seni bina Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai identiti negeri," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu UPM, di sini hari ini.

Borhan berkata rumah itu dibina di atas tapak seluas 750 kaki persegi menggunakan kayu terpakai berkualiti tinggi seperti cengal, resak dan kayu berlian bagi mengekalkan keaslian seni bina tradisional Selangor.

Katanya, pembinaan dijangka siap pada hujung November ini dengan kos keseluruhan RM400,000 termasuk sumbangan RM250,000 daripada Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala bakinya ditanggung UPM.

Menurut Borhan, rumah tradisional di Muzium Warisan Melayu UPM sering menjadi lokasi penggambaran selain memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan rumah tradisi dari pelbagai negeri.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah menyaksikan gimik pelancaran menaikkan tiang seri rumah bumbung panjang Selangor ketika majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu UPM pada 13 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana institusi dalam memperkasa seni, budaya dan warisan Selangor agar terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Terdahulu, Borhan berkata pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor merupakan hasrat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk melengkapkan koleksi Rumah Negeri Selangor.

Beliau berkata rumah berkenaan turut berperanan sebagai pusat rujukan warisan Melayu menerusi fungsinya sebagai korpus ilmu bagi penyelidikan dalam bidang seni bina, sejarah dan antropologi.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah (tengah) menyaksikan penyerahan cek cura pembinaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (dua,kiri) kepada Naib Canselor UPM, Dato Prof Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (dua,kanan) ketika Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Muzium Warisan Melayu UPM pada 13 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.