SHAH ALAM, 14 JULAI: Pembangunan hab industri rel di Serendah dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Hulu Selangor susulan siapnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka pada 2027.
Hab itu dijangka mewujudkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya di Hulu Selangor termasuk Kuala Kubu Baharu, untuk menyertai rantaian bekalan industri rel melalui aktiviti penyelenggaraan, pembekalan alat ganti dan perkhidmatan berkaitan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata Serendah mempunyai kedudukan strategik sebagai penghubung antara Pelabuhan Klang dan Pantai Timur, sekali gus berpotensi muncul sebagai pusat industri rel negara.
"Apabila ECRL siap sepenuhnya pada 2027, kerajaan bercadang mewujudkan hab industri rel di Serendah bagi membuka peluang kepada PKS tempatan terlibat dalam penyelenggaraan, pembekalan alat ganti serta perkhidmatan berkaitan industri rel.
"Kita mahu limpahan ekonomi daripada projek ECRL dapat dinikmati PKS, khususnya di Hulu Selangor. Bukan sekadar memanfaatkan kedudukan strategik Serendah, tetapi memastikan pembangunan ini membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha tempatan untuk berkembang," katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.
Mengulas lanjut, Sock Tao berkata pembangunan industri itu perlu disokong dengan penyediaan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan kekurangan peluang pekerjaan, sebaliknya ketidakpadanan antara kemahiran pencari kerja dengan keperluan industri.
"Masalah yang kita hadapi bukan kerana tiada pekerjaan, tetapi berlaku ketidakpadanan. Penduduk kata sukar mendapat kerja, manakala industri pula berdepan kekurangan tenaga mahir.
"Sebab itu saya mencadangkan supaya pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) diperkasa mengikut keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi permintaan pasaran. Usaha ini perlu melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan pemain industri," katanya.
Ekopelancongan perlu libatkan komuniti
Selain pembangunan industri, Sock Tao berkata Kuala Kubu Baharu mempunyai potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan yang mampu menjana ekonomi komuniti setempat.

Katanya, kawasan itu memiliki aset alam semula jadi yang perlu dipelihara dan dimanfaatkan secara mampan.
"Kuala Kubu Baharu bukan sekadar sebuah kawasan di atas peta, sebaliknya merupakan 'paru-paru hijau' negeri ini. Sungai Selangor membekalkan sumber air kepada penduduk Lembah Klang, manakala kira-kira 51 peratus kawasan Hulu Selangor diliputi hutan simpan kekal.
"Oleh itu, kawasan ini mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan," katanya.
Beliau berkata pembangunan sektor itu perlu memberi manfaat kepada komuniti setempat, termasuk membantu pengusaha aktiviti arung jeram (white water rafting) di Kampung Orang Asli Pertak mendapatkan bimbingan serta lesen bagi membolehkan operasi dijalankan secara sah.
"Kita membawa pegawai kerajaan untuk memberi bimbingan supaya mereka memperoleh lesen yang diperlukan. Dengan adanya lesen, mereka bukan sahaja dapat menjalankan operasi secara lebih teratur, malah berpeluang meningkatkan kemudahan dan mengembangkan lagi perniagaan," katanya.
Sock Tao berharap lebih ramai penduduk tempatan yang mempunyai minat dan kepakaran dapat dibimbing supaya menjadikan sektor ekopelancongan sebagai sumber pendapatan yang mampan.
Menjadikan ekopelancongan sebagai antara pemacu ekonomi utama penduduk Kuala Kubu Baharu merupakan antara manifesto beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei 2024.
Pada PRK itu, Pang memperoleh 14,000 undi dengan majoriti 3,869 undi sekali gus mempertahankan kerusi Kuala Kubu Baharu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).







