SHAH ALAM, 13 JULAI: Lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat diramal ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga 5 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama turut diramal melanda Kuala Lumpur selain beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.







