Konflik AS-Iran: Harga minyak meningkat, trafik Selat Hormuz merosot

13 Jul 2026, 5:24 AM
Konflik AS-Iran: Harga minyak meningkat, trafik Selat Hormuz merosot

ISTANBUL, 13 JULAI: Harga minyak meningkat manakala pergerakan kapal dagang melalui Selat Hormuz semakin perlahan selepas serangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meningkatkan risiko keselamatan di laluan tenaga penting itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pelbagai laporan.

Minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa meningkat kira-kira 3.5 peratus kepada hampir US$79 setong pada Ahad, menjadikan kenaikannya kira-kira sembilan peratus berbanding paras sebelum perang.

Sementara itu, trafik kapal yang melalui selat berkenaan merosot mendadak, menurut firma data maritim Kpler.

Syarikat itu memaklumkan hanya 22 kapal melalui laluan perairan berkenaan pada Khamis berbanding lebih 130 kapal sehari sebelum konflik tercetus.

Ketegangan memuncak selepas AS menyerang kira-kira 140 sasaran di Iran susulan serangan Tehran ke atas sebuah kapal kontena di Selat Hormuz.

Iran memaklumkan bahawa pihaknya bertindak balas dengan menyasarkan kedudukan AS di rantau berkenaan.

Ketua Penyelidikan Asia Barat Kpler Amena Bakr berkata serangan terbaru itu menghakis keyakinan dalam kalangan pengendali kapal dagang, menurut laporan The New York Times.

“Keyakinan itu terhakis dengan amat pantas. Kita kembali ke titik permulaan dalam situasi ini,” katanya.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata peningkatan semula eksport minyak Teluk susulan gencatan senjata awal AS-Iran yang dimeterai bulan lepas membantu menambah bekalan global.

Bagaimanapun, agensi itu memberi amaran bahawa pemulihan yang lebih menyeluruh masih “bergantung pada ketegangan baharu itu diredakan dengan kadar segera.”

Bakr berkata pasaran tenaga semakin terbiasa dengan ketegangan berulang di rantau berkenaan.

“Pasaran telah menyesuaikan diri dengan keadaan normal baharu ini,” katanya.

Beliau berkata pergerakan harga tidak benar-benar mencerminkan keadaan sebenar atau tahap risiko geopolitik.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.