SHAH ALAM, 17 JUN: Pembukaan semula Selat Hormuz dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia menerusi pengukuhan nilai ringgit, penurunan harga minyak mentah dan pengurangan tekanan inflasi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan itu turut meningkatkan sentimen pasaran susulan laluan perdagangan strategik berkenaan kembali beroperasi seperti biasa selepas ketegangan geopolitik di rantau terbabit.
Menurutnya, pembukaan semula laluan penting itu membolehkan bekalan minyak dan gas kembali mengalir dengan lancar sekali gus meningkatkan bekalan bahan api di pasaran global.
“Bila Selat Hormuz dibuka, bekalan bahan api daripada laluan itu akan berjalan lancar kerana sebelum ini ia tersekat akibat sekatan dilaksanakan Iran dan Amerika Syarikat.
“Kebergantungan Malaysia kepada sumber bahan api daripada Selat Hormuz itu adalah sekitar 38 peratus. Jadinya, apabila Selat Hormuz dibuka, memudahkan aliran bahan api seperti minyak dan membantu dalam meningkatkan bekalan bahan api di peringkat global,” katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, situasi itu akhirnya menyebabkan harga bahan api atau minyak mentah diturunkan, yang mana ketika ini harganya menurun dalam kadar agak signifikan.
“Apabila harga bahan api dapat diturunkan, sudah pasti kos kepada kerajaan untuk membiayai subsidi bahan api juga akan berkurangan sekali gus melegakan kewangan kerajaan dan memberi ruang untuk terus memastikan sistem subsidi sedia ada dikekalkan.
“Dengan kata lain, harga bahan api yang disubsidi, sekarang ini contohnya RON95, RM1.99 seliter itu dapat dikekalkan dan melegakan poket rakyat kerana harga bahan api itu dapat dikekalkan dan subsidi dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata situasi itu turut menyumbang kepada sentimen positif dalam pasaran kewangan termasuk pasaran mata wang.
“Apabila Selat Hormuz dibuka, harga minyak mentah mula merosot, maka risiko kenaikan inflasi itu juga turun. Jadi, apabila risiko inflasi itu turun, bererti memberi kesan kepada kuasa beli rakyat. Bukan sahaja di Malaysia, malah di negara global juga dijangka lebih baik daripada sebelum ini.
“Itu sepatutnya akan membantu dalam proses pertumbuhan ekonomi dan kalau sebelum ini kita dapat keperluan dalam proses global untuk menaikkan kadar faedah, mungkin dapat dikurangkan. Maka situasi itu menyumbang kepada sentimen yang positif dalam pasaran kewangan termasuk pasaran matawang.
“Disebabkan itu, kita dapat lihat pengukuhan ringgit itu sedang berlaku.
"Bukan sahaja ringgit. Mata wang asing di peringkat rantau Asia ini juga kita dapati seperti rupiah Indonesia yang menunjukkan trend pengukuhan," katanya.
Dr Mohd Afzanizam turut menjangkakan aktiviti perdagangan antarabangsa menjadi lebih rancak susulan penurunan kos bahan api.
“Perdagangan pula, apabila kos bahan api mula turun, maka kos untuk melaksanakan aktiviti perdagangan antarabangsa juga turun juga kerana untuk melaksanakan aktiviti perdagangan antarabangsa, ia memerlukan perkhidmatan logistik seperti perkhidmatan perkapalan, perkhidmatan kapal terbang kargo.
“Kedua-dua mod pengangkutan ini memerlukan sumber bahan api dan apabila sumber bahan api itu, kosnya itu menurun, maka itu akan menggalakkan lagi aktiviti perdagangan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, perkembangan tersebut secara keseluruhan merupakan petanda positif kepada ekonomi, namun keamanan dan kestabilan geopolitik perlu dikekalkan bagi memastikan manfaat itu dapat dinikmati dalam jangka panjang.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Isnin mengumumkan bahawa Amerika Syarikat dan Iran mencapai perjanjian damai susulan rundingan intensif.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut mengisytiharkan penamatan segera dan berkekalan operasi ketenteraan di semua kawasan konflik, termasuk di Lubnan dan majlis pemeteraian rasmi dijadual berlangsung pada 19 Jun di Switzerland.











