SHAH ALAM, 13 JULAI: Tiga keluarga asnaf di Kanchong Darat, Banting menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Program Ziarah Mawaddah bersama EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah, semalam.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan bantuan itu disampaikan bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.
Seusai program ziarah, rombongan terbabit meneruskan kunjungan ke gelanggang badminton MMA di Jalan Sempadan, Kanchong Darat yang menjadi pusat latihan kanak-kanak mengasah bakat dalam sukan badminton.
“Gelanggang ini merupakan warisan keluarga yang diteruskan daripada datuk kepada anak dan cucu serta telah melahirkan ramai pemain badminton yang berjaya mengharumkan nama negara hingga ke peringkat kebangsaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, JAIS berharap usaha menyantuni masyarakat dan menyokong pembangunan generasi muda dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan serta kesejahteraan ummah.







