SHAH ALAM, 12 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkukuh agenda Bandar Kreatif menerusi penganjuran Bandung–Petaling Jaya Creative City Knowledge Exchange Forum 2026 sebagai persediaan menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN).
MBPJ memaklumkan forum yang berlangsung di Bandung, Indonesia pada 10 Julai lalu menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik bersama Kota Bandung yang diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut kenyataan MBPJ di Facebook, penganjuran forum berkenaan merupakan antara inisiatif strategik dalam menyediakan Pelan Tindakan Bandar Kreatif Petaling Jaya.
Pelan tindakan itu bakal menjadi hala tuju pembangunan ekosistem ekonomi kreatif bandar sekali gus memperkukuh usaha membangunkan sektor berkenaan secara lebih menyeluruh.
"Usaha ini menyokong aspirasi Petaling Jaya untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) sekali gus memperkukuh kedudukan bandar sebagai hab ekonomi kreatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Forum tersebut turut mengetengahkan perkongsian mengenai pengiktirafan UNESCO, tadbir urus bandar kreatif dan pembangunan ekosistem ekonomi kreatif Kota Bandung," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Selain forum, delegasi MBPJ turut mengadakan lawatan teknikal ke Bandung Creative Hub (BCH), sebuah hab inovasi dan kolaborasi yang menjadi pemangkin pembangunan bakat, perusahaan serta industri kreatif di kota berkenaan.
MBPJ berkata lawatan itu memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam pembangunan ruang kreatif, inkubasi bakat dan pengurusan ekosistem ekonomi kreatif yang boleh dijadikan rujukan dalam penyediaan Pelan Tindakan Bandar Kreatif Petaling Jaya.
Menurutnya, hubungan Friendship City antara Petaling Jaya dan Bandung sejak 2012 terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik dalam bidang ekonomi kreatif sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri memperkasa sektor itu sebagai pemacu pertumbuhan mampan.









