SHAH ALAM, 13 JULAI: Pembukaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada industri pelancongan Selangor apabila memudahkan pelawat yang sebelum ini hanya tertumpu di Kuala Lumpur meneroka destinasi menarik di Shah Alam dan Klang.
Menurut Tourism Selangor laluan itu membawa perubahan besar kepada sektor pelancongan negeri dengan membuka akses ke destinasi yang sebelum ini banyak bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian, sekali gus lebih mesra kepada pelancong antarabangsa dan pengunjung tempatan yang menggunakan pengangkutan awam.
Menurut agensi itu, LRT3 merupakan perubahan besar kepada pelancongan domestik dan pelancongan budaya di Selangor.
“Secara tradisinya, meneroka Shah Alam atau Klang memerlukan kenderaan persendirian, sekali gus menjadi penghalang kepada pengembara antarabangsa dan penduduk tempatan yang tidak menggunakan kereta,” katanya kepada Media Selangor.
Tourism Selangor berkata, kemudahan akses itu turut membantu mengagihkan perbelanjaan pelawat ke luar kawasan tumpuan utama di Kuala Lumpur sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada perniagaan di Selangor.
Katanya, berbanding hanya tertumpu di lokasi popular seperti Bukit Bintang dan KLCC, pelawat kini lebih mudah mengunjungi pelbagai tarikan di Shah Alam dan Klang melalui rangkaian LRT3.
Antara destinasi yang dijangka menerima manfaat ialah Daerah Warisan Diraja Klang merangkumi Bangunan Sultan Suleiman, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Gedung Raja Abdullah dan Little India Klang.
Di Shah Alam pula, lokasi seperti Stadium Shah Alam, Stadium Malawati, AEON Mall Shah Alam serta kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka menerima lebih ramai pengunjung.
Selain itu, Tourism Selangor berkata rangkaian tersebut turut meningkatkan akses ke destinasi beli-belah seperti 1 Utama Shopping Centre di Bandar Utama dan AEON Bukit Tinggi di Klang melalui sambungan pengangkutan awam yang lebih baik.
“Dengan menjadikan destinasi ini mudah diakses menggunakan pengangkutan awam, LRT3 membantu mengagihkan perbelanjaan pelawat ke seluruh Selangor.
“Peningkatan jumlah pengunjung juga memberi manfaat kepada perusahaan kecil, pasar warisan dan premis makanan tempatan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kerana berada di kawasan berorientasikan penggunaan kereta,” katanya.
Tourism Selangor turut mengenal pasti beberapa stesen yang dijangka mencatat pertumbuhan pelancongan paling ketara selepas LRT3 beroperasi, termasuk Stesen Jambatan Kota di Klang yang menawarkan akses berjalan kaki ke kawasan bersejarah seperti Little India, Pasar Jawa dan Jambatan Kota selain terkenal dengan tarikan makanan.
Stesen Dato' Menteri pula dijangka menjadi pintu masuk utama ke pelbagai lokasi kebudayaan di Shah Alam termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), SACC Mall, Kompleks PKNS dan Aneka Walk, manakala Stesen Stadium Shah Alam berpotensi menjadi tumpuan pelancong pada masa depan selepas kemudahan pejalan kaki di kawasan sekitar siap sepenuhnya.
Tourism Selangor turut menyifatkan Stesen Bandar Utama sebagai hab pertukaran utama yang bakal menjadi antara pintu masuk paling sibuk ke koridor LRT3 kerana membolehkan pelawat dari Kuala Lumpur, Bukit Bintang, TRX dan Kajang berpindah terus ke laluan berkenaan.
“Bandar Utama menjadi hab runcit dan kesalinghubungan, Klang sebagai destinasi warisan serta makanan, manakala Shah Alam menawarkan budaya, rekreasi dan acara, sekali gus membolehkan LRT3 mengagihkan aktiviti pelancongan dengan lebih seimbang di seluruh negeri,” katanya.









