SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 50 pekerja warga asing nyaris terperangkap dalam kejadian kebakaran sebuah kilang kertas di Kampung Jawa, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata semua pekerja terbabit sedang tidur di asrama kontena kilang berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.46 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi 11 minit kemudian.
“Siasatan mendapati, kebakaran membabitkan bangunan kilang kelas B berkeluasan 100 x 200 kaki persegi, dianggarkan peratusan kemusnahan 30 peratus.
“Siasatan awal mendapati api bermula dari longgokan kertas di bahagian bawah timbunan.
“Jarak pili bomba agak jauh iaitu kira-kira 1,000 kaki dan tiada sistem pencegahan kebakaran di kilang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ashrul Riezal berkata, asrama pekerja yang diperbuat daripada kontena itu terletak di bahagian belakang kilang dan tidak mempunyai laluan keluar masuk sempurna, selain tidak mempunyai sistem pemadaman kebakaran.
Tambahnya, lokasi kebakaran yang terletak bersebelahan laluan paip gas milik Petronas berdepan risiko tinggi sekiranya api gagal dikawal dengan pantas.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kilang berhampiran pada jam 2.50 pagi menggunakan dua aliran, dua ‘dividing breeching’, empat nozel serta teknik ‘relay pumping’ dari pam jentera.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan membabitkan mangsa dilaporkan. Mangsa sempat lari keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Operasi pemadaman membabitkan 19 anggota yang terdiri dari BBP Shah Alam, BBP Sri Andalas serta BBP Klang Utara dan dijangka selesai sepenuhnya lewat petang ini.









