SHAH ALAM, 26 MAC: Sebuah kilang kitar semula seluas dua ekar di Jalan Nagasari, Seksyen 36, di sini terbakar tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.24 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Operasi pemadaman dijalankan 31 anggota dari enam balai, melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Klang Selatan, Andalas, Pelabuhan Klang, Klang Utara, dan Bukit Jelutong.
Komander Operasi, PBK I Mohd Syarim A Malek melaporkan kebakaran melibatkan longgokan barangan kitar semula di kawasan terbuka berkeluasan dua ekar dan tiada mangsa dilaporkan terlibat setakat ini.
Kerja pemadaman giat dijalankan ketika ini dan pihak berkuasa dan pegawai kanan operasi telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
Terdahulu, video rakaman kebakaran kilang yang terletak berhampiran sebuah pasar raya terkemuka itu tular di media sosial, dengan kepulan asap dapat dilihat penduduk sekitar.










