SHAH ALAM, 3 NOV: Empat kilang penyimpanan kain di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh terbakar menyebabkan enam individu mengalami sesak nafas.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor kira-kira jam 10 pagi hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama BBP Bandar Damansara, Bukit Jelutong dan Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya menerusi kenyataan.
Jelas Ahmad Mukhlis Mukhtar, kebakaran membabitkan empat kilang penyimpanan kain yang terbakar 90 peratus dan 10 peratus.
"Mangsa yang mengalami sesak nafas diberikan rawatan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Proses pemadaman masih giat dilakukan ketika ini," katanya.




