SHAH ALAM, 12 JULAI: Dr Maszlee Malik menzahirkan rasa terharu atas mandat yang diberikan rakyat selepas berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.
Bekas menteri pendidikan itu berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat pengundi dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai nikmat yang tidak ternilai daripada Yang Maha Esa.
"Saya terharu dengan mandat diberikan oleh rakyat, saya menghormati keputusan mereka," katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato' Onn, Johor Bahru malam tadi, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, fokus utama selepas kemenangan itu adalah menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta melaksanakan segala janji yang dibuat sepanjang kempen.
"Apa yang penting sekarang adalah usaha menunaikan tanggungjawab dan bekerja seperti mana saya menjanjikan kepada mereka. Beberapa perkara saya rasa perlu tunaikan," katanya.
Mengulas cabaran yang bakal dihadapi pada persidangan DUN Johor, Dr Maszlee berkata cabaran sebenar bukanlah ketika berada di sidang dewan, sebaliknya memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Beliau berkata tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang bukan daripada kerajaan negeri memerlukan usaha lebih besar untuk membawa pembangunan kepada penduduk kawasan berkenaan.
Namun, katanya, hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan serta agensi di bawahnya menjadi kekuatan bagi membantu menyelesaikan pelbagai keperluan rakyat di DUN Puteri Wangsa.
"Saya akan melakukan yang terbaik mungkin untuk penduduk DUN Puteri Wangsa, 'we live to fight another day'," katanya.
Dr Maszlee mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) menang dengan majoriti 5,744 selepas meraih 41,821 undi mendahului calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang memperolehi 36,077 undi.
Calon MUDA, Rashifa AlJunied meraih undi 5,887; calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,332) serta calon bebas, Wang Wee Siong (227).
Peratus pengundian di kerusi berkenaan adalah 68 peratus serta menyaksikan undi rosak 612. Sebanyak 90 kertas undi juga tidak dikembalikan.








